Semangat Dari Puan Nisah Hj Haron Untuk Semua
Salam manis buat semua ahli AVA.
Saya baru sahaja melayari laman ini dan teruja kerana dua daripada peserta bengkel cerpen yang lalu telah mendapat tempat di media. Alhamdulillah. Saya tumpang gembira. Saya percaya para penulis telah pun memecahkan tembok pertama dalam dunia penulisan. Tembok itu bukanlah tembok kebal editor, tetapi tembok yang dinamakan 'percaya kepada diri sendiri'. Percayalah, memecahkan tembok ini lebih sukar daripada membuat tembusan di dada akhbar.
Saya juga percaya, bahawa kekuatan penulisnya sudah sedia ada apabila hadir ke bengkel penulisan cerpen yang lalu. Tidak banyak yang saya 'usik' pada cerpen masing-masing. Untuk cerpen Puan Maria Kajiwa memang sudah sedia untuk dikirimkan ke media ketika saya membacanya. Cerpen Water Lily pula cuma perlukan sedikit sahaja sentuhan, yang selebihnya cerpen itu memang sudah okey.
Jadi, apa lagi? Takkan semuanya mahu berebut-rebut ke Mingguan Wanita sahaja. Ada banyak lagi wadah yang boleh kita jadikan tempat menghantar karya. Untuk akhbar, saya cadangkan mula dengan Berita Harian kerana mereka banyak beri peluang kepada penulis baharu dan juga Utusan Melayu Mingguan (jawi). Jangan fikir editor MM tidak baca akhbar BH atau UMM. Dunia editorial ini tidaklah sebesar mana, mereka semua mengikuti perkembangan penulis-penulis tanah air. Penulis-penulis baharu yang rajin turut mendapat perhatian para editor.
Bagi yang berusia di bawah 35 tahun, masih ada peluang untuk berkarya di dalam majalah Tunas Cipta (DBP). Temanya terbuka asalkan sesuai untuk pembaca muda. Ini juga peluang yang wajar diambil. Saingan tidak sesengit Dewan Sastera, misalnya. Ibarat menyertai pertandingan badminton, sebelum masuk Piala Thomas, cubalah dahulu pertandingan yang saingannya sederhana. Untuk permulaan, penulis memerlukan rasa yakin diri untuk meneruskan langkah yang seterusnya.
Kepada yang masih karyanya belum tersiar (atas sebab-sebab yang hanya diketahui penulisnya), cubalah hantar. Tiada siapa yang tahu kebolehan kita menulis selagi kita tidak mendedahkannya. Andai alasannya adalah masa, itu cuma alasan yang agak klise. :-) Setiap orang diberikan Allah dengan nikmat masa selama 24 jam. Kita jugalah yang seharusnya menguruskan masa itu sebaik-baik mungkin. Katakan pada diri bahawa kita akan melakukannya SEKARANG. Bukannya apabila cuti hujung minggu, bukannya apabila cuti panjang. Sekali kita bertangguh, selama-lamanya kita akan terus bertangguh. Bertangguh bukanlah sifat penulis sejati.
Oleh itu, lihatlah kembali idea kita untuk menulis itu SEKARANG. Kalau mahu membetulkan cerpen itu, lihatlah SEKARANG. Kalau mahu buat suntingan, lakukan SEKARANG. Kalau harus die-mel cerpen yang sudah siap itu, mengapa tidak SEKARANG? Jika sdr tidak melakukannya SEKARANG, ruang itu telah pun segera sahaja diisi dengan perkara-perkara lain atau ruang untuk cerpen sdr itu telah pun diisi oleh PENULIS LAIN.
Ayuh, setelah bertemu dengan para peserta tempoh hari, saya yakin bahawa sdr boleh menulis. Saya sungguh-sungguh percaya!
Sempurnakanlah cerpen itu!
ikhlas,
Nisah Hj Haron
www.annyss.blogspot.com
www.ujanailmu.com.my
4 comments:
Pn Nisah - terima kasih atas keprihatinan puan terhadap ahli AVA. Moga-moga nasihat beliau dapat kita pertimbangkan dan fikirkan demi kebaikan dan masa depan kita dalam dunia penulisan.
Salam manis kembali Puan Nisah ,
Terimakasih di atas kata semangat dan suntikan keyakinan yang telah diberikan semasa bengkel dahulu . Itulah salah satu kelebihan berbengkel walaupun banyak ilmu tercatat di buku , ia takkan sama dengan ilmu yang didapati semasa berbengkel.
Terima kasih sekali lagi.
Tuan, puan dijemput ke blog saya untuk melihat media penerbitan yang sesuai sebelum dihantar.
al-Kurauwi
http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com
Terima kasih Pn. Nisah atas dorongan dan semangat yang puan berikan. Terima kasih juga pada AVA kerana menganjurkan bengkel tersebut.
Cabaran dah saya sahut... :)
Post a Comment