Sunday, January 24, 2010

Isu Honorarium Dan Royalti

Salam hormat.

Isu Honorarium

Ini merupakan dua isu yang sentiasa mendapat perhatian dan bermain di fikiran penulis yang karyanya sudah tersiar di mana-mana majalah atau akhbar. Pertama sekali biar saya sentuh tentang isu bayaran honorarium penulis; atau saguhati penulis. Biasanya, ini berlaku untuk mana-mana karya yang tersiar di majalah atau akhbar. Pada suatu ketika, saya pernah melewati keadaan di mana saya amat memerlukan duit ketika itu. Pada masa yang sama juga karya saya sering tersiar di akhbar dan majalah, sama ada puisi atau cerpen. Ketika itu jugalah saya sering menghantar surat tuntutan bayaran kerana kefahaman akan hak sebagai seorang penulis untuk mendapat honorarium (melalui emel)

Dan tidak pernah ada akhbar atau majalah yang akan membalas atau sekurang-kurangnya menyatakan bahawa emel sudah diterima dan dalam perhatian mereka. Apatah lagi untuk membalas emel dengan mengatakan bahawa proses pembayaran sedang dilakukan. Jadi termangulah untuk beberapa ketika sehinggalah tibanya surat berisi cek pembayaran. Ya, saya pernah melaluinya untuk tiga tahun. Keadaan itu sangat gawat dan menuntut kesabaran yang amat tinggi.

Sehingga artikel ini ditulis, keadaan ini masih berlaku dan saya tidak pasti bilakah nasib penulis akan terbela. Cerpen saya berjudul Falsampah yang tersiar sedikit masa dahulu mengambil masa tiga bulan untuk menerima honorarium. Setakat ini Berita Harian mengambil sikap pro-akrif dengan mensyaratkan agar akaun CIMB disertakan sekali dalam biodata ringkas yang dihantar namun secepat mana menerima bayarannya saya tidak pasti (sudah lama tidak menghantar karya ke Berita Harian).

Hanya DBP sahaja setahu saya akan menjelaskan bayarannya melalui akaun GIRO yang diminta untuk disertakan oleh penghantar karya; membayar sebarang karya yang tersiar sama ada pada hujung bulan atau bulan hadapannya. Bagi majalah lain, saya tidak pasti, namun pengalaman dahulu hanya Mingguan Wanita, majalah Wanita sahaja yang membayar honorarium (terkini, ada sesiapa karya mereka yang tersiar di Mingguan Wanita sudah mendapat bayaran honorariumnya?). Bagi orang yang bekerja sepenuh masa atau mempunyai punca pendapatan lain, ia tidak menjadi masalah dan jarang bertanya tentang perihal ini. Tetapi bagi mereka yang menulis sepenuh masa, ia adalah sesuatu yang amat berharga walaupun bayarannya amat kecil.

Jadi, penyelesaiannya adalah - bersabar dan tunggu sahaja cek sampai atau boleh juga menghantar surat rasmi (kena tulis dengan pertanyaan, jangan marah-marah!) kepada editor majalah/akhbar bertanyakan tentang bayaran karya yang tersiar. Sertakan sekali salinan fotostat bersama emel yang dihantar.

Isu Royalti

Lain pula halnya dengan isu royalti ini. Seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini, penulis hendaklah benar-benar memahami akan perjanjian dengan syarikat yang akan menerbitkan karya mereka. Apa yang penting sekali adalah membacanya dengan teliti walaupun sakit mata melihat tulisan yang kecil atau tulisan yang biasa tapi sukar untuk difahami. Setiap klausa dalam perjanjian tersebut harus difahamkan dengan sefaham-fahamnya. Tidak ada erti kata "Oh saya tidak perasanlah tentang perkara itu." Seandainya ia sudah ditandatangai, ayat tidak perasan itu tidak berguna lagi.

Paling penting dalam perjanjian tersebut adalah memahami tentang cara-cara pembayaran royalti. Berapa kali ia akan dibayar? Bila dibayar? Berapakah nilai atau jumlah bayaran yang akan diterima bagi setiap tahun? Ini adalah perkara mandatori yang perlu difahamkan. Selain itu adalah keupayaan untuk memahamkan klausa yang membabitkan penamatan perjanjian tersebut. Dalam keadaan manakah ia terbatal dan dalam keadaan apakah pula penulis mempunyai untuk menuntut bayaran royaltinya.

Perlu diingatkan bahawa perjanjian tersebut dipenuhi dengan terma atau istilah perundangan yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh penulis. Untuk hal ini, bantuan dari rakan-rrakan yang mempunyai asas dalam bidang perundangan amat-amatlah diperlukan. JANGAN sesekali anda menandatangani perjanjian tersebut selagi anda tidak memahaminya. Tetapi dalam satu keadaan lain pula, penulis menghadapi dilema; sekiranya tidak menandatangani perjanjian, karya tidak akan diterbitkan pula. Sebab itulah ada sesetengah penulis mengambil keputusan untuk menerbitkan sendiri walaupun ia berisiko tinggi dalam memasarkan karyanya. Kong kali kong, penulis juga yang akan tersepit di tengah-tengah perasaan.

Meski begitu, ia tertelak pada tangan penulis sama ada mahu meneruskan niatnya atau tidak untuk menandantanganinya. Tandatangan atau karya tidak diterbitkan!

Ya, begitulah perihal dan keadaan penulis di mana-mana pun. Mimpi indah untuk terbitkan karya menjadi igauan ngeri apabila penerbit tutup kedai atau tidak membayar royalti. Sebab itu penting sangat penulis memilih penerbit yang benar-benar mempunyai kredibiliti dalam menerbitkan karyanya. Dan paling penting adalah perlunya penulis mengetahui sasaran pembaca dan paling kritikal adalah memenuhi kehendak atau stail penerbit yang akan kita hantar karya.

Kepada penulis yang mempunyai pengalaman pahit dari segi bayaran royalti ini, diharapkan agar dapat bersabar menghadapinya. Marilah kita sama-sama berdoa dengan bersungguh-sungguh bahawa suatu masa keadaan ini akan berubah. Dan perubahan ini pula akan menyebabkan nasib penulis terbela. Dalam erti kata lain, benarlah bahawa bidang penulisan itu dapat dijadikan kerjaya profesional yang menjamin tanpa perlunya melakukan pekerjaan lain dalam masa yang sama.

Teringat saya ketika suatu pertemuan dengan seorang penulis skrip (saya tak mahu menyebutkan namanya). Beliau mengatakan bahawa pekerjaan menulis novel ini amat tidak praktikal samasekali dan lebih baik menulis skrip drama. Tapi itu katanya, namun bagi mereka yang menghadiri bengkel penulisan skrip tahu bahawa ia bukanlah semudah yang diperkatakan. Tapi memang saya akui bahawa menulis skrip akan mendapat bayaran yang jauh lebih besar dari menulis novel. Tapi kekangan menjadi seorang penulis skrip drama tetap juga ada. Walhasil dalam bidang apa jua pun, pasti tetap mempunyai cabarannya yang tesendiri.

Kalau ditanyakan kepada saya, bagaimana? Jawapan saya, mari kita jadi kedua-duanya, penulis novel dan penulis skrip drama. Untuk mengetahui apa yang ada dalam dunia penulisan skrip drama dan novel, marilah sama-sama kita menghadiri bengkel penulisan skrip drama yang akan datang kerana penulisnya merupakan seorang novelis danjuga penulis skrip drama. Bolehlah ita bertanya pelbagai persoalan, kerana beliau berkeupayaan untuk menjawab dalam kedua-dua aliran sekaligus. Paling menarik adalah akan adanya slot adaptasi novel pada drama. Ayuh, datang ya!

p/s : Di blog pendaftaran AVA, saya sudah susunkan artikel-artikel yang menjadi rujukan kepada ahli AVA dan pelayar blog ini. Silalah ke sana.

4 comments:

Ridha Reewani / Rizai Reeani January 24, 2010 at 6:50 PM  

Karya saya pernah tersiar di sebuah majalah dan masih tidak mendapat honorarium walau sudah 2 tahun berlalu sehingga saya malas hendak menghantar e-mel kepada editor majalah itu lagi. Editornya juga sudah bertukar ke orang lain. :(

Khar,  January 24, 2010 at 8:23 PM  

Ridh-One : Begitulah nasib penulis. :(

Putri Lily January 25, 2010 at 2:17 AM  

Wah! utk pendaftaran pun dah ada blog sendiri. Siap semua... lengkap dan teratur. Syabas AVA!

Pelayar blog kalau tak faham pun nasib, kan... :

~Putri Lily~

Kak WL January 30, 2010 at 12:23 AM  

Dipetik dalam DEWAN SASTERA, November 2009, halaman 61.

"Hanya dalam bidang penulisan kita tidak dianggap tidak siuman sekiranya kita tidak mendapat apa-apa bayaran".

- Muhammad Haji Salleh
(Sasterawan Negara / Ahli Akademik)

~Sekadar menyalin tampal apa yang tercatat di blog puisi sdra Zulkifli Mohamed~

Malangnya,nasib penulis. Jika kita melakukannya semata-mata untuk wang, lebih baik jadi tukang sapu.

Tapi kita tidak menulis intuk kertas2 itu semata-mata.

Penulis juga perlu makanan berkhasiat. Kalau tidak, bagaimana otak boleh berfungsi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang AVA :

001916007-V (daftar perniagaan)

C-00-7, Blok C, Jln CU 1/A
Taman Cheras Utama,
56000 Kuala Lumpur,
Cheras.

Legal Disclaimer :

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian atau bentuk daripada tulisan, foto dan artikel di sini perlu mendapat izin daripada Agensi Villa Aksara dengan makluman melalui emel atau di ruang komen entri. Dan sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan atau foto tersebut dari blog ini. Terima kasih.
(BLOG INI DIBUKA PADA 11 MEI 2009)

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP