Showing posts with label Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman. Show all posts

Friday, August 7, 2009

Baca dan Fahami Setiap Klausa Perjanjian Penerbitan Anda

Sekadar berkongsi pengalaman...

Hampir setahun yang lalu, saya ditawarkan untuk menerbitkan novel oleh sebuah syarikat penerbitan yang beroperasi di Kuala Lumpur. Saya sangat taksub apabila mendapat tawaran itu memandangkan manuskrip saya sudah beberapa kali ditolak oleh 2 buah syarikat penerbitan yang berlainan. Alasan mereka, karya saya kurang sesuai dengan konsep syarikat mereka. Jika saya mahu karya saya diterbitkan, saya perlu menukar jalan ceritanya mengikut konsep syarikat mereka. Tetapi saya tidak mahu. Jadi, saya cuma menyimpannya dan kemudian memaparkannya di blog.

Dan melalui bloglah, syarikat M menawarkan saya untuk menerbitkan novel saya itu. Pada mulanya saya berasa sangsi kerana saya tidak pernah mendengar nama syarikat M dalam dunia penerbitan novel. Saya pernah bertanya kepada beberapa orang rakan mengenai tawaran syarikat ini. Ada yang kata tidak tahu, ada yang kata syarikat ini memang wujud dan ada juga yang menyarankan saya mencuba. Selepas berkali-kali syarikat ini menelefon saya untuk mendapatkan manuskrip, akhirnya saya terima. Pada fikiran saya, mungkin ini pembuka tirai buat perjalanan saya dalam bidang ini.

Sepanjang tempoh itu, saya dan syarikat M cuma berhubung di telefon dan emel memandangkan waktu itu saya berada di kampung sementara mendapat kerja baru selepas diberhentikan kerja atas faktor kewangan syarikat. Pada mulanya, syarikat M memberitahu yang novel saya akan menjengah pasaran pada bulan Mac ataupun paling lambat April 2009. Tak lama selepas itu, editornya memberitahu saya yang novel saya akan diterbitkan pada bulan Jun pula. Okey, tak apa. Saya tunggu bulan Jun. Dalam pada itu, saya juga pernah meminta untuk melihat pruf akhir kerana setahu saya penulis ada hak untuk melihat pruf akhir sebelum dicetak tapi emel saya tidak dibalas.

Hujung bulan Julai, saya sudah hilang sabar memandangkan saya tidak diberitahu apa-apa berkenaan novel saya yang kononnya akan diterbitkan pada Jun 2009. Apabila saya menelefon, tiba-tiba editor itu menyuruh saya menandatangani perjanjian penerbitan yang baru kerana perjanjian lama sudah tidak boleh pakai. Atas nasihat Abang Khar, saya meminta surat tunjuk sebab mengapa perlu ada perjanjian baru. Namun, editor itu mengatakan tidak ada apa-apa yang diubah kerana pihak pengurusan cuma mahukan perjanjian yang lebih formal. Tetapi apabila saya melihat perjanjian yang baru itu, ada beberapa klausa yang telah diubah.

Saya beruntung kerana mempunyai bos yang baik hati dan sudi membantu saya dalam masalah ini. Menurut bos saya yang juga mengusahakan syarikat penerbitan, ada beberapa klausa dalam perjanjian itu yang boleh dipertikaikan dan kebanyakan klausanya lebih memihak kepada penerbit. Sekarang baru saya sedar kerana dulu saya kurang mengambil berat akan perkara ini. Main sain saja. Saya tahu Tuhan sedang menolong saya kerana itu ditakdirkan adanya perjanjian baru agar saya lebih teliti dalam soal perjanjian penerbitan. Justeru, saya lebih teliti sebelum menandatangani perjanjian yang baru ini.

Kepada penulis baru khususnya, sebaik-baiknya dapatkan nasihat orang yang arif dan tahu mengenai perjanjian penerbitan sebelum anda menandatanganinya. Baca dan fahami setiap klausa yang terkandung dalam perjanjian tersebut agar anda tidak berputih mata di kemudian hari.

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang AVA :

001916007-V (daftar perniagaan)

C-00-7, Blok C, Jln CU 1/A
Taman Cheras Utama,
56000 Kuala Lumpur,
Cheras.

Legal Disclaimer :

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian atau bentuk daripada tulisan, foto dan artikel di sini perlu mendapat izin daripada Agensi Villa Aksara dengan makluman melalui emel atau di ruang komen entri. Dan sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan atau foto tersebut dari blog ini. Terima kasih.
(BLOG INI DIBUKA PADA 11 MEI 2009)

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP