Sedang saya berbaring seketika tadi sementara menantikan perut hilang sebu (terlebih minum air masa berbuka tadi, hehehe ...), saya didatangi ilham tapi saya tidak tahu bagaimana pendapat anda agaknya. Alhamdulillah syukurlah dengan ilham yang mendatang itu.
Ceritanya begini, kepala saya menerawang, teringatkan blog-blog ahli AVA, entah bagaimana saya terfikirkan idea untuk rakan-rakan AVA bertindak menjualkan karya sajak-sajak cinta di sini. Memandangkan sajak-sajak cinta sukar untuk diterbitkan oleh mana-mana penerbit, jadi kenapa ahli AVA tidak mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu. Jadi, bagaimana pandangan ahli-ahli AVA semua. Atau mungkin sahaja rakan-rakan ahli AVA mempunyai sajak lain yang tidak cinta pun boleh dijual. Ini cuma idea saya dan mari kita sama-sama brainstorming tentang idea ini.
Tujuannya :
1) Karya sajak anda dapat dijual.
2) Belajar menjadi editor yang tegas pada karya sendiri.
3) Sekurang-kurangnya karya sajak cinta anda boleh ditegur oleh mana-mana pembeli.
4) Karya anda lebih dihargai.
5) Penjualannya adalah secara online, ini bermaksud ia akan sampai ke seluruh dunia. Mudah, kita tak tahu mungkin ada penggemar sajak-sajak cinta.
6) Supaya ahli-ahli AVA dapat belajar pengalaman bagaimana pahit maung untuk menerbitkan sesuatu karya itu. Dengan ini, kita dapat lebih menghargai susah payah editor di syarikat penerbitan yang bakal/telah mengendalikan karya kita.
7) Menerbitkan rasa yakin di kalangan ahli tentang menerbitkan karya sendiri, disamping menggalakan ahli untuk terus berkarya dan menulis.
8) Menerbitkan karya lebih dengan kreatif dan tidak secara jumud seperti kumpulan sajak yang ada dalam pasaran.
Caranya menerbitkannya :
1) Dengan menggunakan format pdf atau gunakan apa sahaja kaedah yang disediakan online secara percuma di alam siber.
2) Membeli buku kumpulan sajak penulis lain yang diterbitkan dan sila lihat (penting) bahagian hakcipta itu diletakkan. Biasanya ia berada di muka surat ketiga atau keempat. Kemudian lakukannya sendiri pada karya anda.
3) Anda boleh masukkan gambar, muzik (kalau boleh) atau apa sahaja bagi mencantikkan karya anda itu (dilakukan secara kreatif).
4) Pembelian adalah secara online dan duit terus dimasukkan ke dalam akaun anda. AVA hanya bertindak sebagai tapak untuk memasarkan karya anda secara online.
5) Bereksplorasi dan belajar sendiri bagaimana untuk membuat kulit luar yang menarik.
6) Sesebuah kumpulan sajak hendaklah mempunyai 100 buah sajak yang dirasakan paling kuat.
7) Harga sesebuah kumpulan sajak dijual sekitar RM 5.00 - RM 10.00. Anda sendiri yang akan meletakkan harga tersebut berdasarkan penilaian anda sendiri.
Proses Menerbitkannya :
Setelah siap dan berpuashati dengan kumpulan sajak anda, sila hubungi saya untuk saya paparkan di dalam blog khas yang akan saya wujudkan untuk penjualan karya ini.
Persoalan Hakcipta
Ini adalah persoalan yang bermain di kepala anda dan saya. Ya, soal plagiarisme dan isu cetak rompak karya anda dapat diatasi dengan meletakkan hakcipta (c) pada karya anda. Selebihnya tindakan undang-undang boleh dilakukan sekiranya perlu.
Ya, bagaimana pendapat anda semua?
Read more...