Thursday, May 14, 2009

Nama Pena Atau Nama Samaran - Relevankah Di Masa kini?

Saya terpanggil untuk menyentuh tentang perkara ini apabila ianya diperkatakan banyak oleh individu-individu tertentu. Ada kalanya ia diperkatakan oleh seseorang kepada secara peribadi, kadang kala ia diperkatakan di khalayak secara umum dengan begitu sinis dan mempunyai tujuan yang saya tidak tahu maksudnya. Walau apapun, saya menganggapnya ia adalah hak sesiapa pun untuk bersuara tentang perkara ini.

Termutkahir, ketika di Mini Forum Sai-Fai di PWTC. Nama pena ini diperkatakan oleh seseorang yang agak ‘besar’ namanya dalam dunia penulisan. Tidak ditujukan khusus kepada saya, tapi menyinggah di telinga saya.

Baik, apa sebenarnya nama pena atau nama samaran ini? Apakah tujuan ia digunapakai walaupun sudah berada di zaman moden? Relenvankah nama pena ini digunakan, khususnya dalam dunia penulisan? Saya akan cuba membuat kupasan secara rinci untuk perihal ini memandangkan saya juga merupakan seorang pengguna nama samaran secara tekal untuk karya-karya saya.

Definisi Ringkas

Apakah definisi nama pena atau nama samaran menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat)? ‘Nama’ adalah i) panggilan atau sebutan bagi orang (barang, tempat, pertubuhan dll), ii) gelaran atau iii) sebutan, kehormatan, kebaikan, kemahsyuran, maruah, pujian …. Pena – nama yang digunukan penulisan, samaran – menyembunyikan nama yang sebenar .

Ringkasnya, nama pena atau nama samaran adalah suatu nama yang digunakan khususnya di dalam bidang penulisan untuk menyembunyikan nama sebenar atau menyembunyikan identiti sebenar dengan tujuan-tujuan tertentu samada untuk menarik perhatian atau sebagainya.

Tujuan

Tentunya ini adalah perkara pokok mengapa penulis-penulis yang menggunakan nama samaran atau nama pena untuk karya-karyanya. Saya melihatnya dari dua perspektif yang berbeza iaitu :

i) Zaman Sebelum Perang

Kebanyakan penulis-penulis menggunakan nama pena atau samaran adalah bertujuan untuk mengelakkan dari dikesan oleh penjajah atau dari ditangkap.


ii) Zaman Selepas Perang

Bertujuan untuk tidak dikenali ramai dengan tujuan-tujuan tertentu. Ataupun bertujuan untuk dikenali dengan nama yang berbeza demi menarik perhatian.

Ini adalah pendapat umum yang sering diutarakan di mana-mana sahaja kalau kita biasa terdengar. Namun saya mempunyai pendapat yang berbeza pula tentang perkara ini. Berdasarkan kepada pemahaman di atas dan apa yang ada di dalam fikiran saya adalah, nama pena yang digunakan dalam konteks hari ini adalah bertujuan untuk :

i) Memahsyurkan nama, tempat
Contohnya :

Faisal TEHRANI – Tehrani merujuk kepada nama tempat Tehran

Azman Ibnu AL-KURAWI – Al Kurawi merujuk nama tempat kelahiran penulis ini iaitu, Anak Kurau, Perak.

ii) Menyembunyikan identiti sebenarnya, keturunan dan sebagainya yang
berkaitan dengan famili dan sebagainya yang bersifat peribadi atau meringkaskan namanya yang panjang. Contohnya :

W.B. Rendra – WB merujuk pada Wahyu Budewa

SM Zakir – SM merujuk kepada Syed Mohammad

iii) Menyembunyikan terus identiti dan ingin kekal sebagai misteri, hanya mahu karyanya dikenali. Sebolehnya dirinya mahu dikekalkan misteri dan rahsia.

Pena Mutiara
Tamar Jalis
Tok Awang Ngah
Pawana
Tok Peran

iv) Memahsyurkan karya dengan nama pena atau nama samaran

Aleeya Aneesa
Anis Ayuni
Leeya Myra

Saya hanya sekadar menyebutkan beberapa nama di sini. Ini cuma pendapat saya, tapi hakikatnya hanya penulis itu sahaja yang lebih memahami dan mengetahui akan tujuan sebenar-benarya kenapa dia menulis dengan penggunakan nama pena untuk berkarya. Pandangan orang lain hanyalah bersifat subjektif tetapi perlu diterima oleh mana-mana penulis yang menggunakan nama pena atau nama samaran ini dengan dada yang terbuka.

Penggunaan Nama Pena Dalam Menghantar Karya

Baik, ini adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian oleh setiap penulis yang ingin menggunakan nama pena atau nama samaran dalam menghantar karya ke akhbar, majalah atau mana-mana media perdana. Tips saya dalam perihal ini adalah :

i) Tekal

Tekal di sini bermaksud – menggunakannya secara konsisten atau tekal setiap kali menghantar karya. Untuk kali pertama dan kedua berkemungkinan editor akan menyiarkan nama sebenar anda, akan tetapi apabila penggunaan nama pena itu digunakan secara tekal, maka terpulanglah pada editor untuk menyiarkan karya tersebut dengan menggunakan nama sebenar atau nama pena. Dari pengalaman yang saya lalui, biasanya karya keempat atau kelima, editor akan bertoleransi dan membenarkan penulis menggunakan nama pena atau nama samaran tersebut.

ii) Pertikai

Penulis jangan sesekali mempertikaikan penggunaan nama sebenar meskipun kehendaknya adalah untuk menggunakan nama pena. Mempertikaikan editor dalam hal ini bermaksud juga mempertikaian pengalaman dan kredibiliti editor dalam melakukan tugasannya. Ini adalah sangat penting untuk dihindari dan perlu dihindari sebaik mungkin. Ini kerana nasib karya anda terletak di tangan editor yang membaca karya kita samada dia menyukainya atau tidak. Bersabarlah dalam menghadapi perkara sebegini, jangan cepat melatah. Berdoalah, moga-moga karya kita mampu menjentik hati editor.

iii) Hanya Satu Nama Pena

Ini juga adalah satu faktor yang perlu diperhatikan oleh penulis kerana kedapatan penulis yang menggunakan terlalu banyak nama samaran atau nama pena; dan ini tidak digemari oleh editor. Cukup dengan menggunakan satu nama samaran secara tekal. Kecuali dengan tujuan-tujuan yang tidak dapat dielakkan seperti ada syarikat penerbitan yang tidak membenarkan penggunaan nama tersebut demi menjaga kepentingan syarikatnya.


Perlukah Kita Mempertahankan Nama Pena atau Nama Samaran?

Jawapannya adalah ya dan tidak. Ini adalah suatu pilihan bagi penulis-penulis yang mahu menggunakan nama pena atau nama samaran mereka. Ya, kiranya ia melibatkan maruah atau bertujuan untuk memusnahkan karier dan minat kita dalam bidang penulisan. Tidak, biarkan sahaja apa yang diperkatakan oleh mereka yang tidak menggemari penggunaan nama pena. Kerana apa yang lebih penting adalah terus berkarya dan menghasilkan karya-karya secara tekal dan meneruskannya tanpa mempedulikan kata-kata mereka. Apa yang penting adalah kualiti karya yang dihasilkan oleh kita.

Kerana bagi saya yang menggunakan nama pena atau nama samaran untuk seluruh karya saya, banyak kata-kata sinis dan sindiran samada secara gurauan atau ditujukan khusus yang saya telan begitu sahaja. Dari kalangan penulis lama, rakan penulis baru, kalangan penulis sasterawan dan sebagainya. Tapi saya berserah kepada Allah dan teruskan berkarya kerana saya tahu apa niat dan maksud saya menggunakan nama pena itu.

Yang penting adalah karya kita yang ‘bercakap’, nama pena atau samaran hanyalah sebagai medium untuk memprojeksikan karya kita. Tapi terpulanglah kepada mana-mana penulis untuk menjawab atau tidak dalam perkara ini. Nasihat saya ini, adalah terlebih molek kita biarkan sahaja kata-kata sindiran mereka ditelan angin yang berlalu. Lambat-laun penat mereka bercakap, mereka akan berhenti bukan?

Kesimpulan

Nama pena atau nama samaran hanyalah satu medium untuk kita mengangkat karya kita. Tidak kira samada dalam bidang apa sekalipun, apa yang penting adalah menghasilkan karya kita sehingga mencapai daya mutu dan kekuatan yang berkakhir dengan pengiktirafan. Sebenarnya tidaklah begitu penting pengiktirafan ini, kerana seorang pengkarya yang jujur dan ikhlas hanya berkarya demi untuk dibaca fikirannya oleh orang lain. Itu sahaja, wuallahua’lam.

Teks oleh : Serunai Faqir

9 comments:

LeaQistina May 15, 2009 at 12:44 AM  

Salam,

Entri kali ni sangat menarik. Hehe.. Nama pena.

Act Lea menggunakan nama pena atas tujuan privasi. Kadang-kadang timbul pelbagai rasa apabila kita tahu orang-orang terdekat kita membaca karya-karya yang kita tulis secara tidak sengaja. Dan, komennya juga lebih telus berbanding sekiranya orang tersebut mengetahui bahawa 'dia' itu adalah Lea. Hehe...

[Boleh faham ke ayat Lea ni?]

Apa pun, gitulah lbh kurang tujuannya. Tak sangka fasal nama pun leh jadi isu. Hurm...Bukan senang nak senang, so telan sajalah labu... Untung-untung kita leh kenyang. Keh.. keh.. keh...

~LeaQistina

Khar,  May 15, 2009 at 7:26 PM  

Lea & Ilmar - Ya, isu nama pena ini memang jarang disentuh secara rinci, begitu juga dengan perihal lain dalam penulisan. Sebab itulah ejensi ini diwujudkan untuk membimbing para penulis yang baru hendak menceburkan dalam bidang ini. Begitu juga dengan penulis yang sudah lama dalam bidang penulisan. Ejensi ini insyal-Allah akan bertindak sebagai pembimbing dan tempat untuk meyelesaikan banyak perkara dalam hal-hal yang berkaitan dengan dunia penulis dan pennulisan.

Putri Lily May 15, 2009 at 8:03 PM  

Lily setuju sgt dgn Lea tentang nama pena tu.. :)

Kepada Khar, terima kasih link ke blog Lily dan menghargai sangat idea untuk buka blog serupa ni. Banyak penjelasan dan penerangan yang membantu penulis-penulis baru seperti Lily bila membaca blog ini. Syabas!

~Putri Lily~

Khar,  May 16, 2009 at 1:52 AM  

Putri Lily - lebih molek kiranya menjadi ahli. : )

Kaseh Esmiralda May 16, 2009 at 10:34 PM  

pasal nama pena ni bagi Kaseh... Kaseh gunakannya sbb mmg sy x nak orang kenal siapa saya. cukuplah hanya karya sy saja yg dikenali.

p/s : Kaseh x masuk jd ahli lg tp akan join juga nnt. =D

AVA May 16, 2009 at 10:36 PM  

Kaseh - Terima kasih atas respon anda yang sangat positif. :)

Putri Lily May 17, 2009 at 1:03 AM  

Insya-Allah lily join jadi ahli juga nanti.. ada sesuatu yg tak pasti. Hmm.. nak tahu dulu apa yg akan disampaikan oleh rakan seperjuangan.. belum dpt chat dgn dia lagi ni..

~Putri Lily~

Khar,  May 17, 2009 at 1:14 AM  

Putri - jemputlah menyertai kem ini. Insya-Allah banyak faedah nanti. Ahli kita masih belum ramai untuk saya gerakkan aktiviti lagi. Dengan adanya penyertaan putri dan yang lain, insya-allah aktiviti akan diadakan. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang AVA :

001916007-V (daftar perniagaan)

C-00-7, Blok C, Jln CU 1/A
Taman Cheras Utama,
56000 Kuala Lumpur,
Cheras.

Legal Disclaimer :

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian atau bentuk daripada tulisan, foto dan artikel di sini perlu mendapat izin daripada Agensi Villa Aksara dengan makluman melalui emel atau di ruang komen entri. Dan sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan atau foto tersebut dari blog ini. Terima kasih.
(BLOG INI DIBUKA PADA 11 MEI 2009)

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP