Wednesday, May 18, 2011

Ulang Tahun AVA ke-2 : 11 Mei 2011

ULANGTAHUN KE-2

Genap 11 Mei yang lepas, AVA baru sahaja mencecah usianya yang kedua. Namun dalam masa dua tahun itu, banyak perkara yang dapat dipelajari. Pahit-maung mengendalikan bengkel yang pelbagai menyebabkan saya memikirkan pelbagai kaedah untuk AVA terus maju dan bergerak ke hadapan. Di sini juga saya lebih lebih mengenali mana kawan, mana sahabat, mana orang yang akan tetap bersama AVA dalam jatuh bangun AVA.

Saat-saat sukar dalam masa dua tahun mematangkan lagi AVA. Dan saya sebagai peneraju dapat melihat trend turun naik siri bengkel yang diadakan, sama ada bengkel penulisan novel, skrip drama tv, skrip drama radio, cerpen, fotografi dan sebagainya. Semuanya ada turun naik, bahkan hingga ada bengkel yang terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana kekurangan peserta. Bermakna apabila kekurangan peserta, kos yang ditanggung oleh AVA akan meningkat. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, AVA terpaksa mengambil keputusan membatalkan sahaja, meskipun sebelum ini AVA tetap meneruskan bengkel walau peserta cuma seorang.

Dewasa ini juga menyaksikan apabila AVA tekal membuat pelbagai bengkel penulisan, maka bercambah pulalah sama ada individu atau syarikat penerbitan atau IPT yang membuat bengkel yang serupa. Ini merupakan perkembangan yang baik, sekaligus menjadi saingan yang sihat buat AVA. Memandangkan boleh dikatakan sekiranya tidak keterlaluan AVA menjadi trendsetter dan agen penggalak pada wujudnya bengkel-bengkel penulisan yang ada ketika ini. Melihatkan ini, AVA merasakan perlu 'lari' untuk seketika dari mengadakan bengkel penulisan yang menjadi ikutan ramai.

Maka bermulalah pula, siri bengkel yang melibatkan muzik tradisi gendang silat, pembuatan stanjak dan akan datang ini, Insya-Allah bengkel-bengkel yang melibatkan seni Melayu yang lain sekiranya ada kekuatan. Selain itu, ada banyak lagi bengkel yang di KIV oleh AVA, dan akan dikeluarkan secara perlahan-lahan sama ada mengikut keperluan semasa atau disengajakan. Bengkel-bengkel yang antaranya akan diadakan adalah bersifat rare dan jarang diketengahkan. Namun ia menjadi 'senjata' dan rahsia buat AVA ketika ini. Semua ini sudah dirancang sejak pertengahan tahun 2010, kerana sedari awal saya sudah dapat menerka apa yang akan terjadi. Semua itu bergantung pada kekuatan kewangan AVA, bak kata pepatah, 'ada duit semua jadi.'

Selain itu, awal tahun ini juga menyaksikan AVA mula mengorak langkah perlahan-lahan memasukki sektor awam. Bermulanya dengan penyertaan bebebapa kakitangan awam ke dalam bengkel AVA, ia bagai menjadi kesinambungan pada bengkel seterusnya yang diminta oleh mereka; khusus untuk unit mereka pula. Ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi AVA. Untuk masa ini, saya belum betul-betul mahu sepenuh tenaga bagi mendapatkan peluang di dalam sektor awam. Orang kata, test market terlebih dahulu untuk melihat sejauh mana perkembangan dan sambutan terhadap bengkel yang diadakan oleh AVA. Bahkan ada juga meminta AVA untuk mengadakan bengkel yang saya kira di luar kemampuan AVA. Maka, terpaksalah saya menolaknya dengan hormat dan halus.

Maka pada tahun 2011 ini, Insya-Allah, saya akan terus menggerakkan AVA secara lebih berhati-hati dan ada beberapa perancangan yang akan dilaksanakan bagi memantapkan lagi sistem perntadbiran AVA demi melangkah jauh lagi, amin. Segala kekurangan dan kelemahan akan cuba diperbaiki dengan kadar yang segera. Kepada para peserta dan mereka yang terlibat dengan siri bengkel AVA, saya ucapkan terima kasih tidak terhingga. Moga kita akan dapat bekerjasama lagi sampai bila-bila. Tidak juga lupa kepada barisan penceramah AVA yang budiman lagi berdedikasi, saya bagi pihak AVA mengucapkan selamat hari guru dan semoga dapat bekerjasama sampai bila-bila, amin.

- Khar -
Pentadbir AVA

1 comments:

ahadancoach June 15, 2011 at 7:10 PM  

Bro ..teruskan semangat tu..jgn putus asa mmg dlm mengharungi perjuangan ni mmg x lekang dengan cabaran....cuma bagaimana kita nak fikirkan cabaran menjadi peluang....asal kita fokus dan tahu mana hala tuju yg kita nak letak kan insyallah Allah akan sentiasa beserta....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang AVA :

001916007-V (daftar perniagaan)

C-00-7, Blok C, Jln CU 1/A
Taman Cheras Utama,
56000 Kuala Lumpur,
Cheras.

Legal Disclaimer :

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian atau bentuk daripada tulisan, foto dan artikel di sini perlu mendapat izin daripada Agensi Villa Aksara dengan makluman melalui emel atau di ruang komen entri. Dan sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan atau foto tersebut dari blog ini. Terima kasih.
(BLOG INI DIBUKA PADA 11 MEI 2009)

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP