Tuesday, May 11, 2010

DBP VS DAWAMA!

DBP serah laporan

Oleh Salbiah Ani

Dawama dituduh langgar syarat penswastaan dan EPU diminta batalkan penswastaan
DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Dawama Sdn Bhd (Dawama) dalam menerbit dan memasarkan buku serta majalah terbitannya, sudah mengemukakan laporan berhubung pelanggaran syarat penswastaan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk tindakan susulan. Sumber memberitahu Sastera, pengurusan kanan DBP sudah pun mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 9 April lalu, membincangkan perkara terbabit dan menyerahkan laporan yang sama.

Penswastaan Bahagian Pemasaran dan Percetakan DBP dengan kajian terperinci oleh EPU berkesudahan dengan Dawama diberi hak eksklusif mencetak dan memasarkan buku serta majalah terbitan badan berkanun terbabit, berkuat kuasa sejak 1 September 2002.

Sastera diberitahu, mengikut perjanjian penswastaan bahagian terbabit berlangsung untuk tempoh 12 tahun dan hanya boleh dibatalkan jika dipersetujui kedua-dua pihak, tetapi difahamkan pengurusan kanan DBP semakin tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan Dawama.

Sehingga kini, sudah tujuh tahun lapan bulan Bahagian Pemasaran dan Percetakan DBP diswastakan dengan pemegang saham utama dalam Dawama ialah Lokman Che Harun, Kamaruzzaman Muda, Datuk Ghani Ngah dan Datuk Azhar Hashim.
Risik penulis menunjukkan sejak penswastaan Bahagian Pemasaran dan Percetakan DBP, badan berkanun terbabit tidak berpuas hati dari segi nisbah agihan perkongsian perniagaan dengan sesetengah mengatakan 20:80 (DBP-Dawama) dan ada juga yang mendakwa 30:70 (DBP-Dawama).

Pecahan nisbah itu dianggap hanya menguntungkan Dawama dan meletakkan DBP pada perkongsian yang merugikan kerana badan berkanun terbabit menanggung kos jabatan editorial sepenuhnya, di samping perlu membayar royalti penuh kepada pengarang sebaik buku diterbitkan, sebelum buku dijual.

Khabarnya daripada lebih 700 judul yang disediakan DBP pada tahun lalu, hanya separuh daripada jumlah itu dicetak sedangkan pengurusan kanan badan berkanun terbabit sudah mensasarkan penerbitannya mencapai matlamat yang ditetapkan itu.

Sumber memberitahu Sastera, DBP tidak boleh lagi bertolak ansur dengan Dawama kerana syarikat terbabit lambat mengambil tindakan bagi memenuhi sasaran kerja badan berkanun terbabit dan alasan buku terbitan DBP tidak mendatangkan keuntungan ditolak dengan beralasan.

“Jualan buku teks terbitan DBP mencatat keuntungan RM600,000 setahun dan sepatutnya digunakan bagi menampung kos penerbitan buku ilmiah dan buku yang susah dijual, tetapi apa yang dirancang mengikut konsep penswastaan EPU nampaknya tidak berjalan seperti dirancang.

“Penswastaan Bahagian Pemasaran dan Percetakan DBP juga berkesudahan dengan ratusan syarikat percetakan milik Bumiputera yang diwujudkan di bawah konsep payung bagi membantu usahawan Bumiputera, gulung tikar kerana tidak diberi peluang mencetak buku terbitan DBP,” jelas sumber itu.

Difahamkan, pengurusan kanan DBP amat berharap EPU meneliti laporan pelanggaran syarat penswastaan yang diserahkan dan segera membuat keputusan berhubung penswastaan terbabit, demi maruah dan masa depan badan berkanun terbabit agar kehadirannya terus relevan.

“Penswastaan Bahagian Percetakan dan Pemasaran DBP sebenarnya bagus mengikut rancangan, tetapi kegagalan memantau tugas yang sepatutnya dilaksanakan Dawama menyebabkan imej DBP sebagai penerbit buku bahasa Melayu terbesar di Malaysia tercemar sehingga kehadirannya tidak lagi dilihat relevan,” ujar sumber itu.

Sumber itu mendedahkan, kegagalan Dawama mencetak buku teks terbitan DBP mengikut jadual ditetapkan menyebabkan badan berkanun terbabit kerugian kerana dikenakan sebanyak RM2.6 juta oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), sebelum ini.

“Bagaimanapun berkat pemantauan ketat oleh DBP dengan Ketua Pengarah sendiri turun padang bagi memastikan buku teks berada di pasaran pada waktu ditetapkan, pada tahun lalu tiada sebarang denda yang terpaksa dibayar DBP kepada KPM dan menjadi bukti DBP bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya,” tegas sumber itu.

Sastera diberitahu, Dawama yang diberi hak mencetak, mempromosi dan menjual buku DBP tidak menjalankan tugas yang diamanahkan seperti diharapkan mengakibatkan buku mahupun majalah terbitan DBP sukar diperoleh di kedai buku utama kecuali di Kedai Pengedar Dawama.

“Kebergatungan kepada Kedai Pengedar Dawama menyebabkan jualan merudum. Dewan Pelajar dan Dewan Siswa yang mencatat jualan melebihi 100,000 naskhah sebelum penswastaan, kini tinggal 20,000 hingga 30,000 naskhah, mengakibatkan keupayaan DBP sebagai penerbit majalah dan buku terbaik di pasaran terjejas.

“Proses untuk mencetak buku dan cetak ulang juga mengambil masa yang lama dan buku tidak dijual seperti sepatutnya sehingga penulis berwibawa menarik balik hak cipta daripada DBP. Antara yang menarik balik hak cipta ialah Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said dan SN Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang,” kata sumber itu.

Kemelut pemasaran buku dan majalah terbitan DBP oleh Dawama sehingga menyebabkan sasterawan dan penulis melemparkan tuduhan kepada badan berkanun terbabit, pernah disinggung dalam ruang pojok Godam, Moleknya duduk semeja, berbincang dalam laman Sastera, Berita Harian, bertarikh 21 Januari lalu.

Kredit : Berita Harian Online

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang AVA :

001916007-V (daftar perniagaan)

C-00-7, Blok C, Jln CU 1/A
Taman Cheras Utama,
56000 Kuala Lumpur,
Cheras.

Legal Disclaimer :

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian atau bentuk daripada tulisan, foto dan artikel di sini perlu mendapat izin daripada Agensi Villa Aksara dengan makluman melalui emel atau di ruang komen entri. Dan sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan atau foto tersebut dari blog ini. Terima kasih.
(BLOG INI DIBUKA PADA 11 MEI 2009)

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP