Friday, September 25, 2009

Psikiatri dan Penulisan...?

Salam Syawal buat semua ahli AVA!

Ini dia... ahli pasif tiba-tiba menulis ;-) Secara jujurnya, saya segan hendak menulis di sini sebab ada ramai 'otai-otai' yang bakal memerhatikan struktur ayat dan tatabahasa yang saya gerenti [tengok, belum apa-apa dah pakai perkataan 'gerenti'!] tunggang-langgang. Maklumlah, saya labelkan diri saya sebagai seorang 'penulis santai'... menulis sepertimana kita bercakap seharian. Hakikatnya Bahasa Melayu ini sedikit aneh... bahasa formal tidak serupa dengan bahasa pasar. Berlainan dengan Bahasa Indonesia di mana bahasa hariannya tak lari jauh daripada bahasa formal [kalau informasi ini salah, mohon maaf ya =p]

Sebenarnya waktu saya mula-mula menulis di zaman sekolah rendah dan menengah rendah dulu, bahasa penulisan saya memang formal. Tapi selepas itu saya mula selesa dengan penulisan santai, dan saya dapati pembaca lebih mudah mendalami watak-watak dan situasi yang saya ketengahkan. Mungkin juga kerana saya terpengaruh dengan filem; novel saya akan saya bayangkan seolah-olah ia sebuah filem, babak demi babak. Dialog lebih kurang sama banyak dengan naratif/penceritaan. Jadi, kerana inginkan 'filem' saya kelihatan semulajadi dan bersahaja, novel saya juga ditulis begitu.

Eh, ini dah menyimpang daripada tujuan sebenar saya menulis! Hehe... macam inilah saya... kadang-kadang terlalu banyak yang bermain di fikiran saya, sampaikan dengan mudah menyimpang/tersasar daripada tujuan asal. Ini kira mujur kerana saya sedang bercuti, jadi ada banyak masa terluang untuk menguruskan buah fikiran saya yang bagaikan gugusan anggur... berkelompok dan perlu diceraikan satu persatu [hmm... tak sedaplah perumpamaan ni]. Waktu saya masih belajar tak lama dulu, jiwa memberontak nak menulis sepenuh masa... membuatkan fikiran saya kadang-kadang jadi bercelaru. Rasa seperti terlalu banyak yang hendak disiapkan dalam masa yang begitu singkat.

Selepas melalui pembelajaran Psikiatri; saya telah dengan jayanya memberikan diagnosis pada diri saya sendiri. Saya yakin saya ada Bipolar Disorder. Secara ringkasnya, sakit ini murung berselang-seli dengan mania. Yang murung tu, rasanya dah setel [tengok! Selamba je guna perkataan 'setel'! Ish ish ish...] selepas tamat belajar... yang mania tu rasanya sekarang ini bukan main lagi menguasai diri dan personaliti saya. Kepala otak saya berbunyi begini, "Nak buat nilah... Eh, nak buat ni dulu!... Hmm... buat tu pun best jugak... Eh eh, ada ni... Nak join lah!... Yang tu nampak macam menarik..."

Penyelesaiannya? Buat jadual dan senarai kerja! Ha... walaupun bercuti, tak semestinya hidup kita jadi tak teratur. Waktu saya buat keputusan untuk ambil cuti enam bulan sebelum mula bekerja [bekerja ikut kelulusan], saya ada banyak perancangan. Mestilah , dah lama saya impikan saat ini! Saat di mana saya ada banyak masa untuk fokus pada penulisan saya. Tapi itulah... dah terlampau teruja dengan dunia baru saya ni, semua pun nak dicuba... semua bengkel pun saya nak sertai, semua idea pun nak dijadikan cerita. Lagi-lagi pula dengan adanya AVA ni... banyaknya peluang sana sini!

Haih... sah saya ni ada masalah psikiatri. Bercakap tentang psikiatri [ha, ni nak menyimpang lagi ni], saya rasa subjek ini sendiri menarik untuk dikaitkan dengan penulisan. Bukan sekadar psikiatri, malah apa jua pekerjaan sebenarnya boleh jadi menarik kalau kita pandai mengolah cerita. Tapi kita tak boleh hadkan diri hanya pada satu bidang. Kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan. Untuk menjadi penulis yang baik, kita kena banyak timba pengalaman, banyak membaca dan banyak belajar tentang budaya orang lain selain budaya kita sendiri. Baru-baru ini saya baca karya terbaru Paulo Coelho... sesuatu mengenai penulis ini ialah di tengah-tengah jalan cerita dia akan banyak selitkan trivia-trivia menarik tentang bermacam-macam perkara. Untuk membolehkan gaya penulisan yang sebegini, semestinya dia perlu terlebih dahulu tahu tentang perkara yang hendak ditulis secara mendalam.

Tak cukup dengan imaginasi yang kuat.

Kesimpulan yang cuba saya buat; kalau sekadar imaginasilah yang diperlukan untuk menghasilkan karya yang baik... ramai orang gila boleh jadi penulis tersohor! Percayalah cakap saya... ada ramai orang di dalam wad psikiatri yang rajin menulis, dan hasil penulisan mereka penuh dengan imaginasi. Sungguhpun plotnya mungkin ada, cerita itu tidak punyai klimaks ... atau ayatnya tidak teratur... atau perkataan yang digunakan adalah rekaan semata-mata [ini dipanggil neologism]. Lantas menjadikan penulisan itu kurang bermakna.

Jadi, apa yang penting? Kerjasama!... Hehe, itu pun penting juga. Tetapi yang lebih penting ialah pemprosesan buah fikiran secara efektif dan kreatif. Dan jika kita sedari, kadangkala kriteria ini tidak wujud di kalangan pencerita. Lihat saja filem-filem tempatan di pasaran. Selalunya idea itu ada; tetapi penyampaiannya... lemah! Masih menggunakan dialog-dialog klise, aksi-aksi yang dibuat-buat dan tak bersahaja, plot yang tidak berkembang... sedangkan idea asalnya mungkin sebuah cerita yang amat menarik.

Ini namanya pembaziran.

Kalau kita selalu diajar jangan membazir wang, jimat air, jimat elektrik... apa kata kita jangan membazir tunas fikiran dan idea kreatif kita? Kalau kita ada bakat untuk cipta cerita, tapi tak ada disiplin untuk mengembangkan plot, jangan malas dan jangan bongkak. Kita boleh berdiskusi. Kadangkala kita terlalu takut kalau karya kita dikritik dan cepat melenting kalau pendapat kita bercanggah dengan penulis lain.

Kenapa?

Saranan saya; mari kita buang ego itu jauh-jauh. Anda mungkin sasterawan negara, best-selling author ataupun seorang professor... tapi sentiasa ada ilmu baru untuk dipelajari. Buka mata dan buka minda. Percayalah, karya kita akan lebih bermutu.

Melainkan kita mahu hasil penulisan kita disamakan dengan penghuni-penghuni wad psikiatri yang belum sembuh dan hanyut dalam dunia mereka sendiri [bukan saya ye! Saya dah sembuh! Hehe...]

Selamat Hari Raya dan Selamat Berkarya! =)

9 comments:

Khar,  September 25, 2009 at 6:00 PM  

Salam Ned,

Terima kasih berkongsi pengalaman dan pendapat anda di AVA. Semoga kita dapat mengambil manfaat dari penulisan kamu. Tapi terdapat beberapa kesilapan pada tanda bacaan, tajuk tu ada silap sedikit tanda bacaannya, dan yang lain-lain. Tapi jangan takut atau risau, dengan melakukan kesilapan, kita belajar bukan? Semua orang bermula dengan kesilapan, kemudian diperbetulkan.

Anonymous,  September 25, 2009 at 10:18 PM  

Sekadar menyuarakan keluhan saya ini...
Kenapa bahasa kita banyak berubah penggunaannya dari masa ke semasa. Contohnya 'baru' kini dah jadi 'baharu'. Dulu dibuat Bahasa Baku, lepas tu balik semula kepada bahasa biasa. Akibatnya, penggunaan yg dulunya betul kini dah jadi kurang tepat. Bahasa Inggeris dah berapa lama kita gunakan, tapi tak ada perubahan dari masa ke semasa. Adakah kita ingin memartabatkan bahasa kita, tapi akhirnya menyebabkan org lain keliru dan kurang semangat untuk menggunakannnya? Bukankah ini menunjukkan kita seolah tiada pendirian tetap?

Maaf abg khar, sekadar melepas apa yg terbuku di dada...

- yg sedang mencari pendirian dalam bahasa sendiri

Khar,  September 26, 2009 at 5:29 AM  

Terlalu banyak sebenarnya perubahan yang berlaku dalam perjalanan bahasa menuju puncak gemilang. Liku-liku dan ranjau yang dilalui amatlah perit dan menuntut seribu ketabahan. Dan tentunya ini melibatkan kita sebagai pengguna 'bahasa' sama ada perbualan dan penulisan.

Dalam konteks yang lebih khusus, tentunya dalam karya penulisan kita. Ada pro dan kontra, kalau mahu dibicarakan, saya kira ia amat panjang. Bahasa itu sendiri mengalami tranformasinya yang tersendiri menurut perubahan zaman dan waktu. Dari bercakap menggunakan bahasa yang klasik, kita berhadapan pula dengan zaman percakapan bahasa yang lebih 'mudah' dan ringkas.

Namun pokok pangkalnya, kita sebagai penulis harus mengadaptasi walaupun akan mengambil masa dan saya yakin bahawa ianya adalah satu perkara yang tidak dapat kita elakkan.

Namun, pendapat peribadi saya, tidak timbul soal bahasa kita tidak punya pendiriannya, yang tiada pendirian adalah pengolah dan pengguna bahasa, itu sahaja. Untuk itu, kita mulakan dengan diri sendiri agar dapat menulis dengan menggunakan bahasa yang betul. Ibarat kuih raya yang sentiasa mengalami perubahan dan kita tetap berhari raya dan menjamahnya sebagai santapan di bulan Syawal ini. Soal keliru, Kamus Dewan ada, bersahabatlah dengannya, akrabilah dan sentiasa merujuk perubahan yang sering kali berlaku.

Seperkara lagi, sila tinggalkan nama anda sebagai bertanggungjawab terhadap persoalan yang anda timbulkan. Jika tidak, ia tidak akan dijawab atau dilayan selepas ini. :)

Terima kasih kerana mengungkapkan persoalan yang berabad ini.

Anonymous,  September 26, 2009 at 7:16 AM  

Jawapan yg mantap Abg Khar, terima kasih. Bukan tak mahu mendedahkan identiti saya, tapi isu ni agak sensitif. Tak sangka akan dapat jawapan yg sedikit sebanyak mengungkai permasalahan dan konflik yg saya alami. Terima kasih sekali lagi.

- TanpaNama

Khar,  September 26, 2009 at 4:41 PM  

Selepas ini sebarang persoalan tanpa nama yang bertanya tidak akan dilayan, anda harus bertanggungjawab dengan persoalan yang ditimbulkan. Kalau merasakan isu ini sensitif kenapa bertanya secara umum? Kalau anda benar-benar jujur, kenapa harus takut?

syaza,  September 27, 2009 at 3:21 AM  

Sdr Ned,
Bagaimana anda tau anda telah betul-betul sembuh? Kalau kita di hospital sakit jiwa, pesakit biasanya akan mengaku mereka tak gila.

Apa pendapat Abg Khar?... :D

P/s: kesian sdra/sdri tanpanama tu, tentu ada sesuatu/peristiwa yg dah lama berbuku di dadanya tu...

Neddo,  September 27, 2009 at 6:23 AM  

Uik, betul jugak! Mana ada orang gila yang mengaku dia gila kan? Haha! Tapi sedikit ketidakwarasan itu penting untuk menjana imaginasi... ada butul ka tarak butul? Hehe...

AVA September 27, 2009 at 6:48 AM  

Syaza - Ned bukannya ada 'sakit' ... hehehe, saja tu

Ned - Penyataan itu ada betul tapi ejaan itu kurang betul. :)

syaza,  September 27, 2009 at 10:42 AM  

saya tahu... saja gurau.
Boleh tahan juga idea sdr Ned.
Agaknya kena selalu tulis ni, boleh jadi pemangkin kepada yg lain...
Teruskan usaha anda Neddo!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang AVA :

001916007-V (daftar perniagaan)

C-00-7, Blok C, Jln CU 1/A
Taman Cheras Utama,
56000 Kuala Lumpur,
Cheras.

Legal Disclaimer :

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian atau bentuk daripada tulisan, foto dan artikel di sini perlu mendapat izin daripada Agensi Villa Aksara dengan makluman melalui emel atau di ruang komen entri. Dan sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan atau foto tersebut dari blog ini. Terima kasih.
(BLOG INI DIBUKA PADA 11 MEI 2009)

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP