Monday, September 7, 2009

Jangan Pedulikan Anugerah Nobel

Salam para penulis,

Baru-baru ini, saya duduk bersama ayah saya, bercakap tentang Tash Aw, penulis Malaysia yang tinggal di London. Sedang sibuk berbual tentang masa depan Tash Aw yang nampak cerah untuk merangkul Hadiah Nobel pertama buat Malaysia (yang kemungkinan seperti Tsai Ming Liang, dikenali sebagai seorang English-Malaysian daripada seorang warganegara Malaysia, tetapi itu hal lain), ayah saya membawa ke hadapan tentang Promadeya A. Toer yang sepatutnya dianugerahi dengan Hadiah Nobel lalu menjadi tokoh sasterawan nusantara pertama yang sememangnya layak mendapatinya.

Saya memaklumkan kepada ayah saya bahawa Promadeya kemungkinan "tidak akan dapat" oleh sebab penglibatan beliau dengan kumpulan penulis sosialis sewaktu (semacam sebuah badan yang menentukan bahan terbitan sastera di Indonesia waktu itu) di bawah rejim Bung Karno. Diberitakan (tetapi hal ini banyak tidak disampaikan kepada pemerhati sastera Malaysia) bahawa ramai penulis Indonesia yang "melawan arus", berfikiran "lain" daripada kumpulan penulis itu, atau dengan rejim Sukarno, akan di"tapis" dan diharamkan untuk diterbitkan. Hal ini banyak membawa kemarahan para penulis yang setentunya berpegang pada asasi "kebebasan untuk bersuara" walaupun menentang populariti atau konsensus masyarakat itu waktu itu. Saya ada membaca di dalam akhbar Indonesia sewaktu saya di Yogyakarta, antara faktor Promadeya "ditahan" merangkul Hadiah Nobel adalah sebab bangkangan beberapa kumpulan penulis kepada komuniti antarabangsa (dengan menghantar surat kepada pengelola acara Nobel) yang telah "disenyapkan" oleh Promadeya dan rakan-rakannya daripada
menyiarkan hasil kerja mereka (yang memutarkan karya-karya liberal, anti Sukarno, anti komunisme dan demokrasi total). Maka oleh sebab itu Promadeya "tidak akan" diberi pengiktirafan ini.

Keduanya, Promadeya, jelas sekali berarah ke idealisme sosialis (komunis), walaupun mungkin karyanya lebih universal sifat kemanusiannya. Hal ini kalau diselidiki, kebanyakan sidang penilai buat Hadiah Nobel memang berpaksikan idealisme Barat Demokrasi, bermakna terarah kepada kumpulan Blok NATO (waktu itu Perang Dingin) dan sekutu Eropah dan sekitarnya dengan semangat liberalisme, suara bebas melawan arus setempat dan semangat kemanusiaan untuk semua. Jelas hal ini bercanggah dengan idealisme Promadeya (sosialisme). Malah Boris Pasternak, penulis Dr. Zhivago dari Rusia (waktu itu USSR) merangkul Hadiah Nobel oleh sebab layanan pihak komunis USSR terhadap Pasternak (novel hebatnya itu diharamkan di USSR waktu itu) sehinggakan Pasternak terpaksa meninggalkan Rusia.

Penulis Islam yang satu-satunya, arwah Naguib Mahfouz pun dikenali sebagai penulis yang "melanggar arus" zamannya malah kebiasaan pemikiran masyarakatnya. Malah novel-novel awal beliau digelar sebagai "skandal" kerana kelantangan beliau menelanjangkan manusia Mesir baik golongan terpelajar, bangsawan, pegawai kerajaan, orang marhaen ataupun pelacur. Antara novel yang beliau pernah hasilkan, satu-satunya sebuah novel yang memaparkan para ilmuwan agama yang duduk sama bahu dengan pelacur dan samseng (maka bayangkan, filem Gubra pun orang kita sudah bising), malah ada paparan keturunan baik-baik yang berilmu tinggi dan beragama seperti dalam The Harafish yang dalam lipatan sejarah, menjadi anak-anak keturunan penzina, samseng dan menjalankan kegiatan haram. Hal-hal sebeginilah yang disukai oleh sidang penilai Nobel.

Soalan saya, adakah hal-hal sebegini berani dikemukakan oleh penulis kita? Lebih-lebih lagi, rata-rata penulis kita teguh dalam lidah Iman dan kuat dalam tiang tauhidnya. Maka sudah diperkelaskan apa yang "boleh" dan "tidak boleh" dihasilkan dalam sastera Malaysia. Malah, banyak hasil sastera kita yang tinggi (kecuali novel Naratif Ogonshoto yang boleh dikelaskan sebagai sangat universal dan antarabangsa sifatnya) berpegang kuat terhadap nilai-nilai ini yang memang tidak memberi apa-apa makna kepada sidang Nobel sama sekali.

Jadi para penulis, usahlah terfikir akan menjulang Nobel satu masa nanti, kecuali jika kalian berani "melanggar" kebiasaan anda, moral anda dan falsafah anda (tidak bermakna lucah, dan tidak juga bermaksud sensasi). Malah usahlah difikirkan sangat dengan anugerah sastera "corakan" Barat itu. Sepatutnya, sudah perlu ada satu anugerah antarabangsa yang menyatukan kesemua penulis Islam atau ketimuran, malah anugerah sebegitu yang patut kita uwar-warkan dan kita rebut peluang. Oleh sebab, sebuah anugerah sastera Islam atau ketimuran lebih sesuai dengan peradaban kita, jati diri kita, malah roh kita sendiri. Adakah, di mana-mana negara Islam sekarang yang mempunyai satu anugerah sastera berprestij sebegini selain anugerah MASTERA?

7 comments:

Khar,  September 7, 2009 at 11:58 PM  

Sdr Fadz,
Kisah-kisah yang melanggar isi penulisan konvensional sastera 'tanah air' adalah suatu perkara taboo. Hari ini tulis, esok kena termenung di tepi tingkap berjeriji. Jangan kata itu, sanggupkah kita untuk itu, sedangkan berhenti kerja yang ada sekarang ini pun kita tidak berani - yakni menyahut seruan 9/10 rezeki dalam perniagaan? Bagaimanapun terima kasih atas artikel yang menjana ini.

fadz September 8, 2009 at 12:22 AM  

Salam, hal ini menarik. Tetapi sebenarnya abg Khar, sudah ada penulisan sebegitu, tetapi dititip dengan indah sekali (inilah ideal sastera, lebih2 lagi sastera Melayu). Contoh: Saastul Ibaad tulisan FT, satu novel yang memang revolusioner (saya nak tergelak sebab ramai pemerhati dan KDN terlepas pandang, yg buat saya bagus, menunjukkan berapa tinggi intelektual dan mentaliti mereka) kerana memberi "jalan" dan "falsafah" untuk menjatuhkan Sultan (kalau disalah tanggap, ia boleh digunakan untuk revolusi ke arah republik). Tetapi buat saya, inilah yang FT berjaya kemukakan. Tapi beliau terlepas jeriji, apatah lagi, menulis sepenuh masa.. aduh!

Khar,  September 8, 2009 at 6:14 AM  

Sdr Fadz, saya bertemu dengan FT di majlis HSBI ke-12 baru-baru ini, katanya dia tidak lagi menjadi penulis sepenuh masa, katanya sudah mengajar sepenuh masa di ASWARA. Betulkan sekiranya saya tersilap.

Soal karya FT tersebut itupun tidak ditulis secara terang-terangan bukan? Jadi, belum timbul lagi istilah pelanggaran tatacara penulisan konvensional, bahkan cara itu banyak digunakan oleh mana-mana penulis.

Saya lebih suka jika mengungkapkan dengan istilah, penulis mempunyai tanggungjawab sosial untuk menegur semua peringkat. Jadi, bukannya FT sahaja yang melakukannya itu, penulis lain juga menulis dan mengungkapkan dengan cara mereka yang tersendiri. Sama ada secara terang-terangan atau bersifat taksa, itu tidak menjadi soal. Pokoknya hanya manikam mengenali jauhari.

Lagipun pengungkapan teguran dalam istilah dan kredibiliti penulisan masing-masing adalah sangat subjektif sifatnya. Ya, begitulah pendapat saya tentang perkara ini.

Berkenaan hadiah anugerah sastera Islam, saya berfikiran begini, ia diperlukan hanya sebagai pemangkin dan mendorong penulis untuk mengungkapkan rasa maknawi yang tersembunyi dalam hati. Saya fikir banyaklah karya-karya lain yang 'tersembunyi' dalam mengungkapkan perihal ini. Ambil contoh, hikayat-hikayat lama, sudah mengungkapkan perkara ini - menyentuh soal-soal terbesar - ekonomi, politik, sosial dengan cara penulisan mereka yang tersendiri. Cumanya, sejauh dalam manakah pembaca mampu menelah isi-isi berlapis yang sebegitu rupa. Jujur, saya mengatakan saya belum membaca lagi karya FT, jadi saya tidak boleh mengungkapkan apa yang sdr perkatakan itu.

Penulis itu tugasnya menulis, selain dari itu, tidak ada. Bukan untuk nama, bukan untuk hadiah atau sebagainya. Itu semua hanya bersifat penggalak seperti yang saya katakan tadi. Ya, ini juga masih pendapat saya. Paling penting adalah bagi saya adalah untuk mengangkat kebesaran-Nya dalam karya kita. Apakah dengan menuliskan beberapa potong ayat dari Al-Qur'an atau hadith itu sudah dikira karya Islami? Masih kabur bukan tentang isu karya sastera islami. Bagi saya, usah peningkan perkara ini, tulis sahaja. Kepada sesiapa yang ingin manusia mengangkat darjatnya, maka ia akan bersifat sementara, sebaliknya jika Allah yang mengangkat darjat seseorang, ia akan berkekalan Insya-allah. Sebagai contohnya, karya Syeikh Hamzah Fansuri, Maulana Jalaludin Rumi, Ibn Arabi dan sebagainya yang masih dibaca dan dikaji sepanjang zaman. Perkara ini soal yakin dan rasa. Ya, masih pendapat saya. Wallahua'lam.

Terima kasih atas perbincangan yang mengujakan ini. :)

fadz September 13, 2009 at 5:44 PM  

Salam abang Khar, saya amat-amat setuju dengan abang akan makluman "lapisan-lapisan" dalam hal hikayat dan kitab lama kita. Ya, saya setuju kebanyakannya.. mungkin oleh sebab saya terlalu lama duduk di sini (ehem tempat kerja saya), saya sudah mula berfikiran seperti mereka, haha, harap2nya ia takkan berlaku..

Khar,  September 14, 2009 at 9:03 AM  

Pak Karamu - ya, selamat datang ke AVA.

Fadz - Lama lagi ke duduk 'di situ'? :)

fadz September 16, 2009 at 1:14 AM  

Abang Khar, gamaknya! haha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang AVA :

001916007-V (daftar perniagaan)

C-00-7, Blok C, Jln CU 1/A
Taman Cheras Utama,
56000 Kuala Lumpur,
Cheras.

Legal Disclaimer :

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian atau bentuk daripada tulisan, foto dan artikel di sini perlu mendapat izin daripada Agensi Villa Aksara dengan makluman melalui emel atau di ruang komen entri. Dan sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan atau foto tersebut dari blog ini. Terima kasih.
(BLOG INI DIBUKA PADA 11 MEI 2009)

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP