Penulis dan Editor itu Satu Rangkaian Perkahwinan
Salam Semua,
Saya diberi peluang oleh Tuan Khar buat menyampaikan beberapa perkara akan dunia penulisan dan remeh-temehnya. sebagai seorang editor di sebuah badan penerbitan, izinkan saya sampaikan buat pengetahuan saudara-saudari akan penjalinan editor-penulis dan tentang kecantikan serta keburukannya. Pendeknya, pertalian "tanpa ikatan" ini semacam berkahwin semahunya:
1. Saudara-saudari, umum ketahui editor merupakan orang terpenting dalam merencah dan meramalkan "resepi" atau "penyediaan masakan" yang akan di"masak" oleh penulis. Dengan waktu sama juga, editor ialah orang yang paling tidak dilihat atau tidak dipeduli oleh masyarakat pembaca. Ini adalah kerana jika editor itu rajin, berdedikasi dan banyak membantu penulis "menghala-tuju" sesebuah novel (jangan terkejut jika keajaiban tulisan Sasterawan Negara kita pun perlu diedit berpuluh-puluh kali), novel itu akan jadi "berkualiti", dipandang tinggi malah mendapat tempat di mata masyarakat (lihat sahaja novel Anis Ayuni buat jenis novel popular dan novel Azizi Hj. Abdullah buat jenis novel sastera).
2. Maka oleh sebab itu, ada pula editor yang "peduli apa" dengan manuskrip penulis, menyuntingnya dengan "sambil lewa". Jika penulisnya sememangnya sudah banyak kali menyemak dan punya kekuatan bahasa dan penggarapan isi, campak buat editor mana-mana pun "beras" akan menjadi "nasi". Tetapi bayangkan jika editor pun malas, penulis pun malas, takutnya "nasi" menjadi "bubur" pula.
3. Oleh sebab itu, pengajaran pertama penulis harus tahu (walaupun tidak mahu ambil tahu) ialah: kenalilah editor anda! Di Amerika dan UK (dan kebanyakan negara barat serta Amerka Latin), wujudnya agen penulis yang kerjanya duduk memikirkan kerjaya, idea, promosi serta penyunting/editor buat seorang penulis. Kadnag-kala, sesebuah syarikat mempunyai satu editor buat seorang penulis, dan editor ini akan "membantu" perkembangan penulis (serta manuskripnya) dengan ilmu pengetahuan hal ehwal yang beliau ada, keinginan pembaca (ikut tahap, jika penulis tahap diva, editornya pun diva, jika penulisnya baik, editornya pun jenis pendiam, jika penulis tahap diva tapi perlukan egonya dibelai, editornya jenis hamba abdi - tapi ini sudah tentu jika penulis itu seakan Madonna dalam bidang penulisan, yang saya tidak perlulah beritahu siapa) dan hala-tuju penulis (kadangkala seorang editor tahu kekuatan dan kekurangan penulis lalu menghalakan ia ke arah mana).
4. Di Malaysia, kita tidak ada "kelebihan" itu. Mungkin buat beberapa penerbit swasta, kaedah di atas diikuti (saya tahu yang mana tapi tak usahlah saya gembar-gemburkan, anda carilah sendiri) tetapi secara umum, seorang editor akan memegang berpuluh-puluh penulis. Anda jangan terkejut, kalau penulis pun ada pelbagai ragam dan celoteh (saya sendiri seorang penulis dan saya pun ada gatal miang saya), editor pun ada pelbagai ragam dan celotehnya. Oleh itu, silalah kenali editor anda, buat kenal kalaupun tak kenal dan fahami apa yang mereka mahu/tidak mahu. Ini tidak bermakna kita mengikut 100% pandangan editor (sesungguhnya, setiap hikmah perbincangan itu adalah untuk mendapatkan keputusan yang paling baik selepas membuat pertimbangan), apa yang lebih penting ialah ideal dinamisme yang berlaku di antara penulsi dan editor. Dinamisme inilah yang menentukan jika anda boleh menjadi penulis yang disegani atau penulis yang penyegan.
5. Akhir sekali, biar saya lampirkan contoh daripada tokoh sasterawan Dato' Dr. Anwar Ridhwan yang pernah menjadi antara editor terbaik sastera di DBP. Alkisahnya, Dr. Anwar memaklumkan bagaiamana arwah SN Arena Wati merupakan seorang penulis yang sememangnya tepu dengan ilmu dan cerita. Tetapi, mohon maaf, Arena sedikit semacam tukang karut zaman dahulu, beliau tidak tahu di mana beliau mahu berhenti dan yang mana beliau perlu perkembangkan dengan benar sesebuah cerita. Novel terawal Arena sebenarnya mengalami masalah ini. Dr. Anwar, menyedari akan hal ini telah meminta, dengan jasa baik agar Arena tidak tersinggung jika Dr. Anwar "memotong" 200-300 halaman sebuah 600 halaman novel Arena. Arena, selepas menyedari rasionalnya pemotongan ini, telah memberi kata sepakat untuk Dr. Anwar mencantas "mahakarya"nya, anak-anak kata dan idea ke tong sampah. Novel itu, saya difahamkan telah terpilih antara novel terbaik abad ke-20 oleh ahli panel sastera (rujuk senarai Novel Pilihan Abad Ke-20). Selepas itu juga, jika Arena menghantar mansukripnya, "Bahan ini hanyalah buat mata dan tangan Anwar Ridhwan sahaja." Begitu sekali! Sehinggalah pemergiannya. Ini kita dapat bandingkan dengan hasil novel arwah di bawah penerbitan universiti yang banyak kesalahan ejaan dan tatabahasa.
Jadi saudara-saudari, memang, mengenal manikam itu payah jika kita tidak tahu tujuannya. Dan bila "berkahwin" berlaku pula tak tertegur sapa, berebut bantal selimut dan mengumpat sesama mertua. Tetapi itulah, kita juga perlu ingat dengan keindahan perkongsian bantal, senda gurau serta kasih-sayang yang dijalinkan. Ini bukan apa, agar "anak-anak" yang kita semaikan (kalau yang bendul, novel kita lah!) itu akan membesar dengan baik pula dan boleh bertatih dan memilih hidup yang terbaik buatnya.
Teks Oleh : Fadli al-Akiti
14 comments:
Terima kasih atas kupasan hubungan editor dan penulis yang baik ini. Lama menunggu sdr Fadz menitipkan sesuatu. Akhirnya ...
Saya menghadapi masalah apabila editor yang menyunting manuskrip pertama saya kurang memberikan kerjasama dalam menghasilkan manuskrip yang bagus. Dengan bahasa kasarnya, dia bolot sorang2 dan tak pernah bagi saya tengok. Tiba2 je kata dah nak cetak...huhu... Adakah kerana saya penulis baru, maka saya tidak layak memberi apa-apa komen ataupun idea tentang manuskrip saya sendiri?
rasa lebih memahami bila membaca artikel ini.
kadangkala saya sendiri keliru, bagaimana penulis dan editor perlu bekerjasama. kadang-kadang penulis dan editor buat kerja sendiri. selepas satu tahap, manuskrip akan ditambahbaikkan.
pengalaman memang banyak memberi pengetahuan kepada saya.
terima kasih atas perkongsian tips ini.
pernah membaca beberapa novel yang proses suntingannya sangat mengecewakan. kalau setakat 2-3 kesalahan tu boleh diterima tapi kalau hampir semua bab punya kesalahan yang berulang-ulang membuatkan pembaca rasa menyampah nak meneruskan pembacaan. kalau kes macam ni siapa yang bertanggungjawab? editor yang tidak membuat kerjakah atau penulis yang tidak ambil peduli?
Saya menambah sibuk je di sini, sebab saya hanya pembaca.
Saya tahu penulis dan editor sama penting untuk menghasilkan novel yang baik dan berkualiti.
Saya menyokong pendapat Farah,sebagai pembaca saya sudah seramm dengan sebuah syarikat penerbitan sebab novel-novelnya macam tangkap muat aje. Siap salah ejaan ! Serik beli. Malah tak beli lagi. Sebagai pembaca tegar..saya mahukan kualiti yang seimbang. Ianya boleh terhasil dari kerjasama yang baik antara kedua pihak.
saya lebih suka dan rasa dihargai kalau editor yang menyunting manuskrip saya mengizinkan saya melihat final draf yang telah disunting. dari situ kita boleh melihat berapa peratus manuskrip kita yang telah dirombak atau diperbetulkan. tapi kebanyakan penerbit hari ini tak mengizinkan penulis melihat final draf..entahlah mereka mungkin ada sebab sendiri..
tapi mcm saudara fadli kata, editor dan penulis adalah spt satu institusi perkahwinan yang harus saling mempercayai,saling melengkapi kalau ada kekurangan, saling memahami dan saling memberi buah fikiran.
Dunia penulisan hari ini yang ada dlm lingkungan situasi saya ialah penulis menghantar manuksrip, editor merombak dan mengedit, sedar tak sedar buku sudah ada di pasaran.Kekadang hati di dalam bukan tidak mahu menyuarakan untuk melihat final draf novel sendiri, tapi apa boleh buat, terkadang bimbang disalahtanggapi apatah lagi kalau diri bukan sperti penulis-penulis terkenal yang lain.Setakat penerbit yang pernah bekerjasama dengan saya, hanya FP yang memberi keizinan utk melihat final draf.
mungkin sesetengah editor merasa tidak penting untuk memberi keizinan penulis menyemak kembali hasil suntingan kerja tangan mereka. Tapi tahukah mereka bahwa jika penulis adalah manusia biasa yg tak lari dari melakukan kesilapan (apa sahaja), maka pihak editor juga tak mungkin akan betul seratus peratus semasa proses editing dilakukan.maaf, ini hanya pendapat saya sendiri secara individu..
Farah - dua2 bertanggungjawab. Mudah-mudahan ahli AVA mengambil iktibar serta pelajaran dari perkara ini. Paling penting mengikuti petua dan panduan yang digariskan di sini.
Sarah - saya setuju dengan pendapat sdri itu.
Anita - saya setuju, tengok pada penerbit. Ada bagi, ada tak bagi tengok.
Slm Ilmar, sememangnya anda perlu tahu hak anda sebagai penulis, anda ada hak untuk datang berjumpa dengan editor yang dinyatakan dan dapatkan penjelasan. Tidak wujud "diskriminasi" penulis baru dan lama sebenarnya (walaupun secara realitinya di mana2 pun mmg begitu), lebih2 lagi dalam hak undang2.
Slm Khar.. hanya memberi pandangan, tak lebih dari itu..
adra, terima kasih.
farah, oleh sebab itu kita perlu "mengenali" editor kita, berapa manuskrip yang beliau edit dalam seminggu/sebulan/setahun. Adakah beliau pemalas/kerja malam/sibuk/terlalu teliti/dalam kecemasan.. Situasi dan hal ini yang kita perlu tahu supaya tidak berlaku "syak" dalam diri kita terhadap manusia lain. Seeloknya telefon. Tetapi ya, kita punya berhak untuk mempersoalkan kualiti seorang editor, dan hal itu kita sendiri patut suarakan kepada editor atau ketua editor penerbit berkenaan, supaya bukan apa, editor itu sendiri "sedar" akan kelemahan sendiri dan mengubah untuk menjadi yang lebih baik, insya-Allah.
Sarah, sebagai pembaca, saya bersetuju dengan saudari.
Buat pengetahuan Anita, ianya satu proses biasa buat penulis menyemak draf terakhir sebelum editor menghantarnya untuk dicetak. Di dunia Barat ataupun di Timur. Ini undang-undang alamiah dalam penerbitan (nature's law in publishing). Setahu saya, dua penerbit yang pernah saya "lalui" belum memperlakukan apa yg dilalui oleh Anita. Hal ini boleh dirujuk kepada syarikat penerbit yang dikatakan oleh Anita oleh sebab ia sememangnya tidak logik jika mengikut pemahaman proses kerja pun.
Salam,
Apa yang paling utama ialah pastikan manuskrip kita sudah berada di tahap terbaik dari segi ejaan, susunan tatabahasa dan sebaginya sebelum diserahkan kepada editor.
Manuskrip yang 'cantik' akan lebih indah di tangan editor. Manakala manuskrip yang 'separuh siap' tidak akan menjelmakan sesuatu yang ajaib di zaman 'tak cukup masa' ini.
Sekadar pandangan.
Post a Comment