Friday, February 5, 2010

Berita Dari Temasik

Beberapa hari berada di bumi Temasik sebenarnya terlalu banyak perkara yang mahu diungkapkan di sini, tapi cukuplah saya ceritakan al-kisah pertemuan dengan salah seorang ahli AVA, Putri Lily. Disebabkan jadual saya yang begitu padat di sana, saya hanya sempat berjumpa satu jam setengah sahaja; itupun pada hari terakhir saya akan balik ke KL semula.

Pun begitu, banyak perkara yang saya dengar dan fikirkan, berkaitan dengan dunia penulisan di sana dan di sini. Terlalu jauh beza dan rasanya kita alhamdulillah sangat beruntung menjadi penulis di sini. Setidak-tidaknya jauh lebih baik dari situasi di sana. Sambil itu, saya terfikir pula keadaan selepas hampir sembilan bulan saya menjadi penganjur AVA, saya dapati sikap penulis kita juga jauh berbeza dengan rakan kita di sana. Rakan-rakan, menjadi Putri Lily di bumi Temasik tidaklah semudah itu. Juga mahu menjadi penulis di sana tidaklah semudah di sini.

Menurut Putri Lily, amat sukar untuk mencari bengkel yang berkaitan dengan penulisan, khususnya cerpen dan novel. Yang ada hanyalah bengkel penulisan artikel yang lebih menjurus pada berita akhbar. Berbeza dengan sikap sesetengah penulis kita yang mendaftar ataupun tidak dengan AVA dan akhirnya dengan bersahaja mengatakan bahawa tidak dapat menghadiri bengkel (melalui SMS). Ataupun yang marah-marah saya kerana tidak memberi notis atau menelefon mereka tentang bengkel yang diadakan (walhal emel sudah dihantar beberapa kali). Itu belum lagi kisah sesetengah penulis yang langsung tidak boleh ditegur atau terlalu mudah tersentuh. Saya termenung.

Ketika saya mengharung lewat dunia penulisan, kritikan guru saya adalah 100 kali ganda jauh lebih pedih dan menghiris daripada teguran yang saya berikan. Dan saya menganggap teguran dan saranannya sebagai suatu cabaran untuk diri saya terus ke hadapan dalam dunia penulisan. Berbeza dengan penulis sekarang yang mahu dipupuk dan didodoi ... amat berbeza. Bagi saya, tidak sependapat adalah perkara biasa; dan kalau tidak dapat menerimanya, kita akan terkebelakang dengan cita-cita dan anganan kita tidak kesampaian. Saya selalu berbeza pendapat dengan guru saya, tetapi hingga kini saya masih menegurnya walau berjumpa di mana-mana majlis penulisan sekalipun. Kalau ada yang tidak percaya kata-kata saya ini, cubalah berguru dengan sasterawan Zaharah Nawawi untuk mengetahui kebenaran kata-kata saya ini. Kepada sesiapa yang pernah mengikuti bengkel beliau tentu akan tahu apa yang saya perkatakan.

Sesekali saya terfikir juga, bagaimana ya andainya AVA tidak lagi berfungsi sebagai penganjur bengkel; seperti yang saya katakan bahawa bengkel penulisan sci-fi dan fantasi adalah yang terakhir untuk tahun 2010. Ataupun AVA membatalkan sahaja semua keahlian (dengan memulangkan semua duit yuran) dan saya berkata 'pandai-pandailah kamu nak berjaya.'

Ya, peranan AVA amat kecil dan tidak seberapa, banyak lagi platfom komuniti sastera dan penulisan yang boleh disertai. Saya sedang berfikir-fikir ...

Oleh Serunai Faqir.

9 comments:

Putri Lily February 5, 2010 at 6:30 PM  

Salam,

Dulu lily pernah bertanya, kenapa makin kurang senarai peserta yang akan mengikuti bengkel... hmm... bengkel kedua AVA kalau tak silap. Tapi kata Khar, bengkel akan diteruskan walaupun peserta makin berkurangan. Yah! Bengkel yg sederhana tapi cukup memberi kepuasan kepada mereka. Itu yang lily dapat rasakan bila baca entri blog mereka yang menghadiri bengkel tersebut.

Jadi... sebagaimana bengkel, begitu juga hendaknya dengan kewujudan AVA. Biarpun ada satu duanya yang sepertimana Khar kesalkan, tapi masih ramai lagi yang tidak seperti itu. Apalagi setelah AVA melangkah lebih jauh sedikit berbanding pada awalnya. AVA yang sudah mempunyai no pendaftaran secara rasmi, AVA yg sudah mempunyai lebih dari 20 orang ahli berdaftar dan AVA yang sudah terlanjur memberi tunjuk ajar asas penulisan pada kami yang baru menapak ini. Mengapa harus ada fikiran untuk membubarkan semuanya setelah ianya bermula?

Memang tak ada perkara yang mudah dalam dunia ni. Tapi kalau orang yang dah berpengalaman pun susah untuk terus menganjur bengkel seperti ini, apalagi kami yang langsung tiada pengalaman.

Harapan lily semoga AVA terus berdiri kukuh, Insya-Allah penyokongmu tetap ada.

~Putri Lily~

Neddo February 5, 2010 at 8:41 PM  

setuju dengan putri lily. tidak kira apa bidang sekalipun, ragam manusia ini pelbagai. takkan pernah ada yang sepenuhnya berpuas hati.

tapi, memetik kata-kata Bill Cosby, "I don't know about the key to success, but the key to failure is trying to please everybody"

ahadancoach February 6, 2010 at 2:31 AM  

Saya rasakan mungkin kerana daya tahan yang amat sedikit berbanding dengan dahulu..(bukan semua)cuba kita renungkan kita dulu bro apa permainan kita, bagaimana kita dididik, bagaimana kita mengaji dan dirotan jika tidak sembahyang....bandingkan pula sekarang ps2,computer game,ps3,mp3 menjadi mainan mereka sebab itu mereka mudah terperesuk ke dalam jika teguran sedikit keras..terfikir saya bagaimana nak berdebat tentang agama, bangsa dan negara....insyallah penuang AVA jgn putus harapan dan penulis AVA teruskan walau rintangan bersusun dihadapan

Khar,  February 6, 2010 at 3:41 AM  

PL - siapa kata nak tutup? hehehe. Ya, terima kasih atas semangat PL untuk AVA. Insya-Allah, saya akan kayuh bersama siapa yg ingin duduk di dalam sampan AVA. Mana yang enggan, tidak mengapa. :)

Neddo- -Saya setuju, tak mampu kan nak sukakan hati semua orang?

Abg Bro -terima kasih atas semangat, kadangkala terasa sunyi berjalan seorang diri di belantara kata. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk terus berjalan walau keseorangan. Amin.

Matmin,  February 6, 2010 at 5:15 PM  

Salam, Bro Khar, adanya AVA baru saya berani turun ke gelanggang penulisan dan berani menyertai bengkel yang diadakan.

Sangat setuju dengan pandangan Putri Lily. Harap Bro Khar tidak terlupa bahawa masih ramai yang berada di belakang saudara dan sanggup bersama-sama mengayuh sampan untuk mengembara di lautan kata.

"You'll Never walk Alone"

Matmin

Khar,  February 7, 2010 at 9:46 AM  

Mat Min - Terima kasih juga kerana berani duduk dalam sampan AVA walaupun di hujung sampan. Sekurang-kurangnya, mengayuh juga kan? :)

Farahusain February 7, 2010 at 5:27 PM  

Saya pun akan turut mengayuh bersama AVA selagi terdaya.

AK, jangan lah fikir-fikirkan hal tutup menutup ni. Seriau mendengarnya.. :)

macai_suci February 7, 2010 at 6:12 PM  

sebenarnya di dalam kita menempuh arus kehidupan ini terlalu banyak ranjau yang berduri. Saya faham adakalanya kita akan merasa rendah diri bila di tegur. Hakikatnya, kita akan terus bersendirian tanpa cahaya andai kita terlalu angkuh menongkat ego kita. Sebagai seorang penulis yang masih hijau ini. Saya berpendapat, seharusnya seorang penulis itu adalah sangat mesra alam, mesra masyarakat dan berilmu. Nah! Kalau kita terlalu angkuh untuk dikritik atau ditegur bagaimana kita mahu memungut ilmu.

Hidup ini wahai rakan-rakan penulis sekelian, adalah saling bergantungan antara satu sama lain. Hidup kita ini adalah saling melengkapi. Justeru dengan itu, saya juga memahami apa yang cuba di perkatakan oleh Khar.

Cuma persolaannya, sampai bilakah kita mahu berdiri dengan sikap besar kepala kita. Apakah kita hanya sekadar memandang sesuatu itu dengan mata kasar. Sebuah kehidupan yang baik adalah suatu pengembaraan ilmu yang tidak pernah berkesudahan meskipun hayat kita berada di hujung halkum.

Saya juga merasa kesal dengan segelintir penulis yang tidak mahu merombak paradigma mereka. Bagi mereka diri mereka terlalu sempurna dan mahu semua orang mengikuti caranya.

Sedarlah, setiap yang lahir itu punya pandangan dan cara mereka sendiri. Terpulanglah kepada individu itu memilih laluan mana yang hendak diikuti. Jangan sampai hanya disebabkan kita, orang lain menjadi mangsa keadaan. Seandainya kita tidak bersetuju dengan cara orang lain bukankah lebih baik mengundurkan diri daripada menjadi parasit yang menyakiti orang lain.

Pesan guru saya "kehidupan yang bahagia adalah apabila kita membahagiakan orang lain".

Saya juga ingin berpesan pada semua dan juga diri saya "Sekali kita menyakitkan hati orang lain, yakinlah bahawa Allah akan membalasnya sepuluh kali ganda dahsyatnya kepada kita".

Sekian, harapan saya agar tiada yang terbunuh atau dibunuh oleh kata-kata saya.( Berkata benar sekalipun pahit).

Ridha Reewani / Rizai Reeani February 9, 2010 at 4:01 PM  

saya tidak tahu berbicara panjang tetapi selagi ada kudrat, saya tetap memberi sokongan untuk AVA, Insyaallah... :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang AVA :

001916007-V (daftar perniagaan)

C-00-7, Blok C, Jln CU 1/A
Taman Cheras Utama,
56000 Kuala Lumpur,
Cheras.

Legal Disclaimer :

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian atau bentuk daripada tulisan, foto dan artikel di sini perlu mendapat izin daripada Agensi Villa Aksara dengan makluman melalui emel atau di ruang komen entri. Dan sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan atau foto tersebut dari blog ini. Terima kasih.
(BLOG INI DIBUKA PADA 11 MEI 2009)

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP