Wednesday, November 4, 2009

Bengkel Penulisan Skrip Drama Menutup Tirai

Salam kepada rakan AVA dan pelayar blog ini.

Bengkel penulisan skrip drama yang diadakan pada 10 Januari 2010 adalah petanda tirai bengkel 2009 ditutup. Pada mulanya saya berhasrat untuk mengadakan pada bulan Disember tetapi dua bengkel penulisan novel sudah nekad terpacak dan enggan untuk berganjak dari tarikh tersebut. Maka, bengkel penulisan skrip drama terpaksa juga diganjak pada pertengahan bulan Januari 2010.

Beberapa bengkel penulisan - cerpen, novel dan skrip drama, bagi saya adalah titik tolak permulaan AVA untuk melangkah jauh. Namun untuk sementara waktu, bengkel akan dihentikan untuk sementara waktu bagi mengelakkan berlakunya ketepuan berbengkel. Kepada siapa yang tidak dapat mengikuti bengkel ini, maka terpaksalah menunggu untuk bengkel akan datang (saya belum merancang lagi bila tarikh dan masanya). Dalam masa yang sama, ilmu sudah digali, kayuh sudah di tangan, maka tiada helah lagi untuk mengatakan tidak tahu menulis. Semuanya terpulang kepada kekuatan dan ketahanan diri sendiri untuk menulis. Pilihan berada di tangan anda.

Lagipun kepenatan menguruskan bengkel ini dapat merehatkan saya untuk seketika bagi menumpukan perhatian pada penulisan sendiri. Cuma ada beberapa perkara yang harus saya tegur untuk perhatian ahli AVA dan lainnya. Suka saya menyatakan bahawa ada beberapa perkara untuk seseorang yang mempunyai cita-cita menjadi penulis yang berjaya. Itu pun terpulang kepada semua untuk memikirkannya, paling penting melaksanakannya. Tugas saya hanya untuk menyampaikan demi kebaikan semua dalam bidang tercinta ini. Antaranya adalah :

1) Ketepatan Masa
Ini adalah disiplin yang mandatori bagi seseorang penulis yang mahu ke hadapan dan berjaya. Tanpa disiplin ini, satu perkara pun takkan berjaya dilakukan. Seorang penulis yang berdisiplin adalah kunci utama menggenggam piala kejayaan. Dalam berkarya, ini amat diperlukan bagi memastikan kita dapat menyiapkan dalam masa yang kita sendiri tentukan. Perlu ada target demi untuk berjaya. Tanyakanlah kepada mana-mana penulis yang berjaya, jawapannya disiplunlah yang akan menjadi kunci utama dalam mencapai hasrat tersebut.

2) Elakkan Memberi Alasan
Ya, ini juga satu perkara paling asas yang wajib diketepikan oleh setiap penulis yang ingin berjaya. Kalau ini menjadi kelaziman, percayalah, penulisan anda takkan bergerak ke mana. Kalau begerak pun, hanya untuk seketika dan tidak bertahan lama. Sementelah sudah punya tanggungjawab lain kelak. Nasihat saya sekali lagi - kalau benar-benar mahu berjaya dalam penulisan, elakkan memberi alasan. Belajar dikir demi dikit untuk melaksanakannya.

3) Pro-Aktif
Dalam menganjurkan bengkel ini, banyak penulis yang saya lihat mempunyai sikap yang pasif serta lambat respons dan merujuk perkara (2). Ini adalah satu sikap yang perlu dielakkan. Percayalah, dengan bersikap pro-aktif, anda dapat melakukan banyak perkara dalam masa yang ditetapkan serta memudahkan orang berurusan dengan kita. Tidak perlulah ditanya sehingga beberapa kali untuk memberi jawapan atau respons.

4) Yakin Pada Diri Sendiri
Ini adalah antara rahsia kejayaan yang selalu dipegang oleh mereka yang sudah jauh ke hadapan. Bermakna dalam konteks penulisan, kita yakin pada karya yang kita lunasi. Seandainya ada perasaan tidak yakin yang bersarang, begitulah juga perasaan pembaca apabila menatap karya kita.

5) Sikap Sentiasa Menambah Ilmu
Berapa kali atau berapa lamakah saat terakhir kita berbengkel dan menelan ilmu yang diluahkan oleh penceramah? Rakan-rakan, jujur saya mengatakan bahawa ilmu yang diperolehi dalam bengkel amat terhad. Jadi, manfaatkan waktu berbengkel sebaik mungkin dan juga mencari ilmu dengan penulis lain.

6) Elakkan Perasaan Sombong
Dalam pengalaman saya yang sedikit ini, beberapa kali juga saya bertemu dengan sikap yang sebegini. Wah, ini sangat, sangat perlu dijauhi. Jangan sesekali merasakan apabila karya kita telah terbit, maka kita merasakan diri kita sudah menjadi seorang bintang. Tidak ke mana sebenarnya dengan sikap sebegini. Orang-orang yang sebegini takkan pergi jauh, kalau jauh pun dia mampu pergi, dia akan jatuh terduduk suatu masa nanti. Tanamkanlah sifat tawadduk, serta sentiasa merasakan bahwa setiap segala yang seseuatu itu hanya atas izin Allah semata-mata. Kita hanya bersifat medium, bahkan yang menggerakkan kita adalah Allah Ta'ala. Buangkan perasaan ini. Dalam konteks dunia penulisan, sikap begini hanya akan menyebabkan kita terpinggir walaupun duduk di atas tangga teratas sekali. Orang takkan hairan pada kejayaan, orang akan hairan pada budi bahasa.

Moga terus lestari berkarya.
Selepas bengkel penulisan skrip drama, saya mahu berehat untuk seketika.

4 comments:

Camellia MK (Maria Kajiwa) November 4, 2009 at 10:43 PM  

Terima kasih di atas teguran dan peringatan.

Putri Lily November 4, 2009 at 10:58 PM  

Salam,

Sudah puas dibaca dan direnung, terasa sangat bisanya bait2 ayat dalam entry kali ini. Menyengat sehingga ke akal pemikiran yg amat dalam.

Bagaimanapun Lily tak menyangkal apa yg diperkatakan adalah sesuatu yg sering berlaku tanpa kita sedari. Jika tiada orang yg memberi peringatan seperti ini, bertambah buruklah lagi.

Terima kasih kerana memberi teguran kepada kami yg masih baru lagi.

~Putri Lily~

LeaQistina November 5, 2009 at 6:37 PM  

Salam AK,

terima kasih atas teguran yang diberikan. Insyaallah akan cuba berbuat sesuatu mengenainya...

~LeaQistina

Neddo November 9, 2009 at 6:36 PM  

setuju... ciri-ciri itu semua sepatutnya ada bukan sahaja sebagai seorang penulis, malah sebagai seorang insan yang ingin berjaya dalam apa jua bidang... tapi kadang-kadang kita hanya manusia yang punya kelemahan... yang ditegur harus merenung, yang menegur harus bersabar... =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang AVA :

001916007-V (daftar perniagaan)

C-00-7, Blok C, Jln CU 1/A
Taman Cheras Utama,
56000 Kuala Lumpur,
Cheras.

Legal Disclaimer :

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian atau bentuk daripada tulisan, foto dan artikel di sini perlu mendapat izin daripada Agensi Villa Aksara dengan makluman melalui emel atau di ruang komen entri. Dan sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan atau foto tersebut dari blog ini. Terima kasih.
(BLOG INI DIBUKA PADA 11 MEI 2009)

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP