Friday, May 29, 2009

Tidak Mendapat Honororium?

Pernakah anda menghantar karya seperti cerpen dan puisi ke majalah atau tabloid yang tumbuh bagaikan cendawan di pasaran? Anda begitu gembira apabila karya anda tersiar, terasa hilang penat sewaktu menangani karya itu. Puas benar rasa hati karya dan nama kita terpapar di ruangan yang disediakan khas untuk cerpen atau puisi itu? Anda pun terus menghantarnya tanpa pernha memikirkan apakah anda mempunyai hak terhadap karya yang disiarkan itu? Setelah beberapa karya anda tersiar, teman anda pun menegur, "Berapa kau dapat sekali hantar?"

Tiada jawapan yang terpacul, hanya senyuman dan akhirnya menggeleng kerana anda sendiri tidak tahu bahawa hak anda untuk menerima honororium ada di situ. Akhirnya anda mencari rakan-rakan yang pernah menghantar karya mereka tetapi mereka dibayar honororium atau saguhati terhadap karya yang tersiar itu.

Nah, inikan senario yang selalu berlaku kepada semua penulis, termasuklah saya sendiri. Entah berapa puluh puisi yang saya hantar ke merata tabloid, akhbar dan majalah. Akhirnya tidak ada satu pun yang membayar honorarium kepada saya. Lalu saya bertanya kepada rakan senior di dalam bidang penulisan tentang perkara itu. Jawapannya, "Ada."

Dari keterujaan itu, saya telah kecewa dan dari kekecewaan itu saya belajar bahawa hak diri sebagai seorang penulis itu perlu dipertahankan. Karya yang tersiar sudah-sudah itu, saya diamkan sahaja. Malas mahu memikirkan kerana sudah berpuluh yang tersiar dan ada sesetengah penerbitan majalah itu sudah pun gulung tikar. Saya mengeluh. Honorariumnya tidaklah sebesar mana, tapi saya fikirkan semula bahawa duit yang diterima itu tidaklah sebanyak keuntungan yang diperolehi oleh penerbitan itu. Dan ada kalanya saya memikirkan pula, "Agaknya syarikat penerbitan ini juga tak tahu bahawa karya yang tersiar itu perlu dihargai dengan sewajarnya."

Sejak dari itu, saya menjadi cerewet dan memilih mana penerbitan yang menghargai karya saya. Bukan soal besar atau kecil jumlah honorarium yang diterima, tetapi atas dasar penghargaan. Maka, saya pun mula menghantar kepada penerbitan majalah DBP yang lebih menghargai penulis dengan caranya. Saya merasa lega walau sekecil mana bayarannya. Tetapi ada juga penerbitan besar yang memberikan terlalu lambat honorarium tersebut. Ada rakan saya yang menerimanya hanya setelah dua tahun!

Pengalaman saya yang sudah-sudah menyebabkan saya agak keberatan untuk menghantar karya puisi dan cerpen ke tempat yang tak tentu hala. Ada pula yang menyarankan agar saya menghantar surat untuk menuntut bayarannya. Pada mula saya memang melakukannya tapi akhirnya saya tidak lagi menghantar surat tuntutan itu kerana memikirkan, "Ah, sudah tahu mereka tidak menghargai, kenapa harus menghantar di situ?" Namun, pemikiran saya masih lagi waras dan memikirkan pula dari sudut pembinaan nama sebagai seorang penulis. Maka sesekali saya menghantarkannya, mana tahu ada rezeki. Bukan rezeki honorariumnya tapi rezeki karya dipertandingkan pula di peringkat atasan.

Ya, inilah titik bengik yang dilalui oleh hampir kebanyakan penulis yang mula berkecimpung dalam bidang ini. Keterujaan berakhir dengan kekecewaan dan kekecewaan pula akhirnya mewujudkan kesedaran terhadap hak yang ada pada seorang penulis. Jadi, kepada rakan-rakan penulis yang telah melalui pengalaman ini, pandai-pandailah memilih penerbitan yang lebih menghargai karya anda. Meski karya kita tidaklah sehebat karya sasterawan negara, namun ia sangat bernilai di dalam hati kita. Selamat menulis dan jangan serik!

2 comments:

NURUL AINI BAKAR June 3, 2009 at 7:22 AM  

Pengalaman saya tentang topik ini, saya menghantar 6 buah cerpen ke majalah REMAJA, 4 daripadanya disiarkan. Itu kisah 2 tahun dulu. Hal bayaran, saya pernah mendapat cek yang bernilai RM240 (RM60 satu cerpen) daripada pihak mereka (itupun setelah saya tanya dan desak berpuluh kali melalui emel, dan dalam proses itu ada juga saya menerima panggilan telefon daripada editor yang seperti tidak puas hati marah-marahkan saya. Siapa yang patut marah siapa sebenarnya?) tapi kerana kesalahan ejaan nama, saya tidak dapat menunaikan cek tersebut. Setelah itu mereka minta saya mengirimkan semula cek itu. Telah saya kirimkan dan maklumkan pada editor melalui emel. Tapi sampai sekarang tak ada khabar berita. Saya dah malas nak bertanya mendesak lagi. Yang lebih menyakitkan hati 2 daripada cerpen saya itu kini telah dikompilasikan ke versi cetak 'koleksi cerpen2 best Remaja' dan diterbitkan oleh Buku Prima yang mana dengar ceritanya telah banyak kali diulang cetak sekarang (Banyak untung diorang dapat ye! Huh~). Saya beli buku itu, kerana itu cebisan rasa bangga saya kerana akhirnya tulisan saya dibaca oleh ramai orang, tapi bila mengingatkan hak saya yang tidak dibayar pihak Karangkraf, hati jadi panas. Buat saya malas nak menulis. Walau setakat RM240, itu adalah hak saya, bayaran pertama yang sepatutnya saya dapat daripada titik peluh mencungkil idea, mengarang cerita. Hemm... Entahlah!

Khar,  June 3, 2009 at 6:21 PM  

Inilah namanya pengalaman yang dapat mematangkan kita, Nurul. Sehingga kini, abg lebih gemar hantar ke majalah terbitan DBP yang memang bayar penulis yang menghantar karya. Majalah2 picisan lain tu dah naik malas dah nak hantar pada dia orang. Apa pun, jangan berhenti menulis, jadikan itu satu pelajaran yang meluaskan pandangan dan pengalaman serta semangat yang membara untuk menulis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang AVA :

001916007-V (daftar perniagaan)

C-00-7, Blok C, Jln CU 1/A
Taman Cheras Utama,
56000 Kuala Lumpur,
Cheras.

Legal Disclaimer :

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian atau bentuk daripada tulisan, foto dan artikel di sini perlu mendapat izin daripada Agensi Villa Aksara dengan makluman melalui emel atau di ruang komen entri. Dan sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan atau foto tersebut dari blog ini. Terima kasih.
(BLOG INI DIBUKA PADA 11 MEI 2009)

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP